Ameng (kiri) terkilan Yazit masih mengetuk dram untuk menyara keluarganya. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Ameng (kiri) terkilan Yazit masih mengetuk dram untuk menyara keluarganya. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Ramlah Zainal


“SAYA sedih melihat keadaan Yazit yang sakit dan uzur tetapi masih turun padang membuat persembahan untuk menyara keluarganya.

“Sepatutnya artis tidak perlu mengemis buat program kumpul dana seperti ini.

“Di manakah artis popular dan nama besar yang lebih berkemampuan untuk membantu Yazit?,” kata penyanyi Ameng Spring ketika mengulas mengenai program kumpul dana untuk membantu bekas pemain dram kumpulan Search, Yazit berlangsung di Uptown M3 Mall, Taman Melati, baru-baru ini.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Sampai Hati itu, dia juga terkilan kerana program kumpul dana untuk membantu golongan artis sering dijayakan artis kurang popular.

“Selalunya artis yang datang menjayakan program kumpul dana seperti ini adalah ‘artis funfair’ dan suam-suam kuku.

“Justeru, artis juga seolah-olah membuka pekung sendiri bila ada pihak yang mendakwa bila artis susah dan sakit barulah nak buat program kumpul dana dan sebagainya ,” katanya kepada Harian Metro.

Kata Ameng lagi, sepatutnya, tanggungjawab membantu golongan artis yang memerlukan digalas artis popular dan nama besar yang lebih berkemampuan.

“Saya percaya jika semua artis popular yang memiliki pendapatan tinggi mencecah jutaan ringgit bergabung mereka boleh membantu Yazit.

“Kalau satu persembahan mereka dibayar RM10 ribu ringgit, apa salahnya jika mereka menghulurkan sumbangan untuk membantu artis yang sakit seperti Yazit dan keluarganya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 3:54 PM