AMRAN menang Anugerah Penggiat Seni (Aktif), baru-baru ini. FOTO Hazreen Mohamed
AMRAN menang Anugerah Penggiat Seni (Aktif), baru-baru ini. FOTO Hazreen Mohamed
Norhayati

MESKIPUN pernah bergelar pelakon drama pada era 1980-an dan 1990-an, kini Amran Nasrudin selesa memilih aktif dalam pementasan teater yang memberi ruang kepadanya menggalas tanggungjawab sebagai pengarah dan bergerak di belakang tabir.

Amran yang meraih Anugerah Penggiat Seni (Aktif) pada majlis Anugerah Seni Budaya (ASB) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2023, baru-baru ini, mengakui dia seronok mencurahkan segala keringat seninya di lapangan teater yang baginya turut mendapat sambutan baik penonton.

"Alhamdulillah, saya bersyukur dan gembira dengan kemenangan ini apabila usaha saya aktif memartabatkan seni teater mendapat pengiktirafan. Saya sebenarnya melihat seni teater ada potensi tersendiri.

"Kelompok penonton yang meminati teater juga ramai, cuma cabaran dihadapi penerbit dan pengarah untuk mementaskan sesebuah teater itu agak mencabar terutama kepada persatuan baharu.

"Saya sendiri pernah mengalami keperitan itu ketika mula-mula nak bergerak aktif dalam teater dulu, namun kekuatan semangat menjadi pendorong saya gigih berusaha dan nekad buat saja dengan dana yang ada kerana yakin pasti akan ada jalannya," katanya.

Amran berkata, untuk menikmati sesuatu kejayaan itu memerlukan masa dan pengorbanan, namun jangan sesekali mudah berputus asa kerana ada kalanya ia memerlukan kita jatuh serta bangkit berkali-kali.

Pada awal Mac lalu, Amran berjaya mementaskan Teater Madu Tiga yang diadaptasi daripada karya Allahyarham Tan Sri P Ramlee di Hotel Grand Barakah Ampang selama tiga hari berturut-turut dengan sambutan penonton menggalakkan.

Amran berkata, walaupun harga tiket dikatakan sedikit mahal kerana lokasi pementasan di hotel, namun berbaloi kepada penonton kerana disediakan juga dengan hidangan makanan enak sambil menonton.

Dua tahun lalu, Amran pernah mengarahkan teater Cicit Wan Lebor di MATIC, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, selain menganjurkan Malam Mas Mona dan program Malam Amal Artis Veteran di Langkawi.

Selain Amran, pemenang untuk lapan lagi kategori lain ialah Norfazlina Hishamuddin untuk Anugerah Penggiat Seni (Teater), Imran Syafiq Mohd Affandi bagi Anugerah Penggiat Seni (Tari), serta Mohamad Radzuan Abu Samah raih Anugerah Penggiat Seni (Permainan Tradisional).

Tidak ketinggalan, Chow Hoong Ian menang kategori Anugerah Penggiat Seni (Muzik) dan Dr Shafa' atussara Silahuddin menerima Anugerah Penggiat Seni (Seni Berbahasa).

Manakala, wartawan Hiburan Harian Metro, Mohamad Ridzuan Abdul Rahman menerima Anugerah Pendukung Seni (Media) dan Persatuan Teater Malaysia memenangi Anugerah Pendukung Seni (NGO) yang menerima hadiah berupa trofi, sijil penghargaa dan wang tunai RM1,000.

Sementara itu, bagi Anugerah Tokoh Seni Budaya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2023 pula dimenangi oleh Entarraine Govindaraju atau dikenali sebagai Indira Manikam yang menerima RM3,000, trofi dan sijil penghargaan.

Anugerah Seni Budaya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) adalah untuk memberi penghargaan kepada penggiat seni berwibawa dan aktif di sekitar ibu kota.

Majlis berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur itu dihadiri Ketua Pengarah JKKN, Mohd Amran Mohd Haris yang bertindak menyampaikan hadiah kepada semua pemenang terpilih.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2023 @ 6:42 AM