BEN Ladin kembali bergandingan dengan Shiha.
BEN Ladin kembali bergandingan dengan Shiha.
Zaara Talita


GABUNGAN dua suara yang padu daripada Ben Ladin dan Shiha Zikir menghasilkan sebuah karya hebat menerusi lagu Angan.

Bukan hanya sekadar hiburan buat halwa telinga, lagu ini dijangka bakal memberikan pengajaran dan mesej positif kepada pendengar.

Antara keistimewaan lagu ini adalah ia mendapat sentuhan istimewa daripada komposer dan penulis lirik lagu Hikayat Benladin iaitu Malique.

Sejak kemunculan muzik pendek di media sosial, lagu ini menarik perhatian peminat Ben Ladin, terutamanya menerusi TikTok.

Video yang dimuat naik sudah mencapai 70 penciptaan kandungan (content creation) dalam tempoh seminggu selepas muzik pendek ini dikongsikan.

Ini membuktikan gabungan duo hebat ini jelas mempunyai daya tarikan tersendiri dan mampu menarik perhatian peminat mereka.

Angan adalah buah tangan paling istimewa daripada Ben dan Shiha tahun ini yang mana kedua-duanya memainkan peranan penting dalam penghasilan karya ini.

Antara keunikan lagu ini ialah Ben sebagai penyanyi rap dan Shiha sebagai pelengkap kepada vokal yang unik dan merdu.

Kerjasama ini tidak hanya mencerminkan kepelbagaian bakat seni mereka, tetapi juga menghasilkan perpaduan yang memukau dan pastinya akan memikat hati pendengar pada era ini.

Lagu ini mengisahkan mengenai perasaan seseorang yang terperangkap dalam ilusi atau impian untuk mencapai kehidupan mewah dan kuasa.

Dalam usaha mengejar impian dalam kehidupan, mereka juga kebingungan dan keliru kerana realiti kehidupan yang sukar diwujudkan.

Antara mesej positif dalam Angan ialah sentiasa berpegang kepada realiti supaya tidak merosakkan masa depan kita terutama apabila kita terdedah kepada kemewahan dan penipuan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2023 @ 6:45 AM