Muncul juara program realiti Akademi Fantasia 2013 (AF 2013), tidak menjanjikan perjalanan mudah buat bintang muda, Faizul Sany, 30, membina kerjaya sebagai penyanyi.

Sebaik program realiti itu tamat hampir dua tahun lalu, nama Faizul bagaimanapun tenggelam andai dibandingkan dengan beberapa rakan seangkatan seperti Indah Ruhaila yang terlebih dulu mencipta nama.

Enggan mengalah, Faizul yang menyimpan angan-angan menjadi penghibur serba boleh berusaha membuktikan kehadirannya dalam industri bukan sia-sia.

Single pertama Faizul, Sepasang Sayap ciptaan Amir Jahari kurang mendapat perhatian pendengar muzik tempatan, namun lagu kedua nyanyiannya, Perempuan yang turut menjadi runut bunyi drama bersiri popular Suamiku Encik Sotong berjaya menambat hati pendengar.

Lagu berkenaan membantu memperkemaskan langkah penyanyi muda kelahiran Tawau, Sabah ini dan Faizul bersyukur kerana tidak cepat mengalah.

Selain itu sokongan berterusan diberikan peminat sejak menyertai Akademi Fantasia 2013 menjadi pembakar semangat buat Faizul yang turut berbakat dalam penciptaan lagu.

Lagu Perempuan hasil ciptaan sendiri akhirnya membawa Faizul terbang jauh apabila menerima pencalonan dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-19, selain Anugerah Planet Muzik 2014 di Singapura. Lagu itu turut meng­ungguli carta radio tempatan dan diterima di negara jiran.

Album pertama menggunakan judul namanya sendiri diedarkan pada September 2014 menjadikan langkahnya untuk meneruskan perjuangan sebagai penyanyi lebih panjang.

Ia memuatkan sembilan lagu menggabungkan beberapa karya komposer terkenal seperti Audi Mok, Faizal Tahir, Amir Jahari dan Omar K.

Selain Perempuan, Faizul turut menyumbang dua lagi lagu iaitu Surat Untuk Sahabat dan Lullaby dalam album terbabit dan liriknya ditulis sendiri.

Menjadikan Faizal Tahir dan Bruno Mars sebagai contoh, bagi Faizul menjadi penyanyi menjadi titik permulaan untuk dia me­ngembangkan bakat sebagai komposer disegani suatu hari nanti.

Bagi merealisasikan impiannya, Faizul turut menghasilkan single pertama buat rakan seangkatan dalam AF 2013, Amira. Ternyata dia memang berbakat apabila lagu Hati-Hati dendangan Amira mula diterima umum.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 November 2015 @ 5:10 AM