PEMINAT membanjiri Zepp untuk menyaksikan kemunculan Testament di Kuala Lumpur.
PEMINAT membanjiri Zepp untuk menyaksikan kemunculan Testament di Kuala Lumpur.
Ridzuan Abdul Rahman


Siapa sangka Malaysia akhirnya menjadi destinasi untuk band legenda thrash metal, Testament dari Amerika Syarikat mengadakan konsert.

Lokasi popular Zepp Kuala Lumpur yang tidak pernah 'berhenti rehat' ini menjadi medan mereka menghiburkan peminat yang sudah lama menantikan kehadiran Testament, Sabtu lalu.

Malah, penyanyinya, Chuck Billy sendiri mengesahkan bahawa konsert itu adalah kemunculan pertama dalam karier 37 tahun mereka membuat persembahan bersama sebagai sebuah band di Kuala Lumpur.

Menurutnya, mereka amat teruja kerana diberi peluang membuat konsert buat pertama kali di Malaysia.

Bagi penggemar genre thrash metal, Testament adalah satu nama besar dalam dunia muzik metal secara keseluruhannya.

Peminat genre ini merujuk Testament sebagai antara 'lapan nama terbesar' thrash metal bersama dengan Metallica, Megadeth, Slayer, Anthrax, Exodus, Overkill dan Death Angel.

Selain Billy, Testament yang turut dianggotai Eric Peterson (gitar) Alex Skolnick (gitar), Steve Di Giorgio (bass) dan Chris Dovas (dram) menampilkan persembahan cukup bertenaga.

TESTAMENT berjaya menghiburkan peminat mereka di Malaysia.
TESTAMENT berjaya menghiburkan peminat mereka di Malaysia.

Mereka membawa 17 lagu yang kebanyakannya lagu lama mereka. Konsert yang bermula jam 8.30 malam itu dimulakan dengan Rise Up yang dipetik dari album berjudul Dark Roots of Earth yang diterbitkan pada 2012.

Lagu lain yang dibawakan ialah The New Order, The Haunting, Trial by Fire, Children of the Next Level, The Pale King, More Than Meets the Eye, Do or Die, D.N.R. (Do Not Resuscitate), 3 Days in Darkness, Musical Death (A Dirge), First Strike Is Deadly, Souls of Black, Over the Wall, Practice What You Preach, Into the Pit dan Alone in the Dark.

Penonton cukup teruja apabila Testament menyampaikan rangkaian lagu lama ini. Pertama kali beraksi di Malaysia, tentunya mereka terhibur menikmati lagu yang pada suatu ketika dulu menaikkan nama Testament pada awal karier mereka.

Kehangatan persembahan Testament ditutup dengan lagu Alone in the Dark yang juga sebuah lagu mereka yang begitu dikenali oleh peminat muzik irama metal.

TESTAMENT hadir di ibu kota sempena konsert jelajah Bay Strikes Back Tour.
TESTAMENT hadir di ibu kota sempena konsert jelajah Bay Strikes Back Tour.

Mereka juga mengajak penonton menyanyi bersama ketika persembahan lagu itu.

Konsert anjuran Lampuneon ini diadakan dengan kerjasama penganjur dari Singapura, Street Noise SG.

Sementara itu, wakil Lampuneon dikenali sebagai Gee Amcorp berkata, dia gembira kerana menerima banyak maklum balas yang cukup baik dan positif daripada mereka yang hadir untuk menyaksikan konsert Testament.

Testament hadir di sini sempena konsert jelajah Bay Strikes Back Tour.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2023 @ 6:20 AM