KEHADIRAN Anthrax dinanti-nanti peminat thrash metal tanah air.
KEHADIRAN Anthrax dinanti-nanti peminat thrash metal tanah air.
Riadz Radzi

METALLICA sudah, Megadeth pun sudah. Kini tiba giliran Anthrax pula mengadakan konsert di Malaysia.

Band thrash metal yang ditubuhkan di New York, Amerika Syarikat (AS) pada 1981 itu akan mengadakan konsert pertama mereka di Star Convention Centre, Menara PGRM, Kuala Lumpur pada 4 April ini.

Selain Metallica dan Megadeth, Anthrax diiktiraf sebagai ‘Big Four’ dalam arena muzik thrash metal dunia bersama satu lagi band dari AS iaitu Slayer.

Hanya Slayer yang belum pernah mengadakan konsert di Malaysia. Metallica mengadakan konsert di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 2013 dan Megadeth di Stadium Negara pada 2017.

Bagi peminat muzik thrash dan heavy metal tanah air, kehadiran Anthrax yang menjadi kegilaan mereka sejak tahun 1980-an dan 1990-an pastinya dinanti-nantikan.

Lagu-lagu Anthrax yang dianggotai Joey Belladonna (penyanyi), Scott Ian (gitar), Jonathan Donais (gitar), Frank Bello (bass) dan Charlie Benante (dram) yang selama ini didengar menerusi kaset, cakera padat, pita video, VCD dan YouTube kini boleh dihayati di depan mata.

ANTHRAX yang dianggotai (dari kiri), Joey Belladonna, Frank Bello, Jonathan Donais, Scott Ian dan Charlie Benante (belakang).
ANTHRAX yang dianggotai (dari kiri), Joey Belladonna, Frank Bello, Jonathan Donais, Scott Ian dan Charlie Benante (belakang).

Konsert ini juga sempena ulang tahun ke-30 album ketiga mereka, Among The Living.

Mereka bukan sekadar band yang membenarkan Metallica yang ketika itu masih mentah tumpang bermalam di studio mereka pada 1983, tetapi juga menghidupkan watak Judge Dredd menerusi lagu I Am The Law pada 1987.

Berbanding tiga lagi ‘Big Four’, Anthrax paling bersemangat mengekalkan fokus untuk terus mara. Mereka sentiasa memberikan yang terbaik di atas pentas dan di studio.

Sehingga April 2017, Anthrax sudah mengeluarkan 11 album studio yang terjual lebih 10 juta unit album di seluruh dunia. Daripada jumlah itu, 2.5 juta unit terjual di AS.

Album ketiga, Among The Living yang dipasarkan pada Mac 1987 memperlihatkan sisi jenaka dan eksperimental mereka serta memulakan trend lirik berdasarkan novel Stephen King.

SCOTT Ian.
SCOTT Ian.

Anthrax turut bertanggungjawab terhadap kewujudan speed metal dan thrash metal. Mereka mempamerkan alunan lazim thrash metal pada album terawal dan terkenal dengan lirik berunsur jenaka dan komik.

Majalah Rolling Stone menyifatkan Anthrax sebagai salah satu daripada band thrash dan heavy metal yang berjaya mentakrif semula genre itu sepanjang tahun 1980-an.

Sebarang maklumat mengenai tiket Konsert Anthrax Live In Malaysia 2020 sila layari www.proticket.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Februari 2020 @ 8:00 AM