VOB tawan peminat muzik metal di seluruh dunia.
VOB tawan peminat muzik metal di seluruh dunia.
Riadz Radzi


BERHIJAB, berwajah comel dan tampil bersopan, tetapi 'garang' di pentas dengan memainkan muzik metal.

Ini yang membuatkan trio gadis dari Indonesia, Voice Of Baceprot (VOB) mula menawan peminat muzik metal di seluruh dunia.

VOB yang dianggotai Firdda Marsya Kurnia (penyanyi/gitar), Widi Rahmawati (bass) dan Euis Siti (dram) ini mula menempa nama dalam kalangan penggemar muzik metal seluruh dunia apabila tampil memberikan nafas baharu kepada lagu band terkenal dunia seperti Metallica, Red Hot Chili Peppers, Rage Against The Machine dan Slipknot.

Malah, kehebatan mereka turut diakui nama besar dalam dunia muzik rock seperti pemain gitar Guns N' Roses, Slash, Tom Morello (Rage Againts The Machine) dan Flea (Red Hot Chili Peppers).

VOB dalam satu temu bual menyifatkan muzik mereka kuat dan bertenaga. Mereka cukup sinonim dengan muzik nu metal, funk metal, thrash metal dan progresif metal.

"Sesiapa saja boleh mendengar muzik kami. Sebagai permulaan, kami cadangkan anda mendengar single pertama kami pada 2018, School Revolution kerana dari situ perjalanan kami bermula," kata mereka.

VOB juga mencipta sejarah tersendiri apabila majalah muzik popular Britain, NME baru-baru ini menyenaraikan VOB dalam 100 artis baharu yang akan mendominasi industri muzik tahun ini.

Turut disenaraikan ialah artis dan band popular United Kingdom dan Amerika Syarikat antaranya FLO, GloRilla, Heriot dan Panic Shock.

CIPTA sejarah apabila diundang membuat persembahan di festival muzik metal terbesar dunia, Wacken Open Air di Wacken, Jerman.
CIPTA sejarah apabila diundang membuat persembahan di festival muzik metal terbesar dunia, Wacken Open Air di Wacken, Jerman.

NME dalam kenyataan di Instagram berkata, peminat Rage Againts The Machine dan Deftones wajib mengikuti VOB yang mempunyai persamaan dari segi muzik dan lirik dengan dua band antarabangsa itu.

"Mereka adalah trio rock yang menyokong kesaksamaan jantina. Mereka juga tampil dengan riff keras dan lirik mengenai keadilan sosial, agama dan lain-lain," katanya.

Pada Ogos tahun lalu, VOB turut mencipta sejarah apabila diundang membuat persembahan di festival muzik metal terbesar dunia iaitu Wacken Open Air di Wacken, Jerman.

Wacken Open Air cukup dikenali sejak 1990 dan dihadiri lebih 80,000 penonton setiap kali penganjurannya. Dari Judas Priest, Iron Maiden, Slipknot hingga Arch Enemy, semuanya pernah bermain di situ.

Siapa sangka VOB yang berasal dari Garut, Jawa Barat ini mampu mencipta revolusi dalam industri muzik.

BERASAL dari Garut, Jawa Barat mampu cipta revolusi dalam industri muzik.
BERASAL dari Garut, Jawa Barat mampu cipta revolusi dalam industri muzik.

Bermula dengan band indie pada 2014, VOB kini mampu membuka mata peminat muzik metal. Kemampuan mereka mengendalikan 'instrument' masing-masing dengan baik kerap diperkatakan, lebih-lebih lagi dalam genre yang dimonopoli band yang dibarisi lelaki.

Selain School Revolution, VOB mempunyai tiga lagi single iaitu God, Allow Me (Please) To Play Music, Public Property dan PMS (Perempuan Merdeka Seutuhnya).

Mereka juga memiliki album mini berjudul The Other Side Of Metalism yang dipasarkan pada 3 Ogos 2021. Ia mengandungi lagu 'cover' versi live yang mereka mainkan di beberapa konsert dan gig.

Cerita mengenai 'trio hijabster' ini juga menjadi bualan dalam kalangan peminat metal tanah air termasuk mahu menonton aksi tiga gadis metal ini.

Sehubungan itu, Pentas 365 dengan kerjasama LampuNeon merealisasikan impian itu dengan membawa VOB untuk konsert istimewa di Zepp Kuala Lumpur pada 19 Februari depan.

Konsert yang akan bermula pada jam 8 malam itu turut menampilkan band Malaysia, Blind Tribe untuk bersama-sama memberikan tenaga yang cukup hebat buat peminat setia mereka

.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2023 @ 9:23 AM