RUPERT Grint. FOTO AFP
RUPERT Grint. FOTO AFP
Agensi

London: Bintang filem Harry Potter, Rupert Grint, 32, berjaya memecah rekod dipegang Sir David Attenborough untuk masa terpantas mencapai satu juta pengikut atau 'followers' di Instagram.

Pelakon yang popular dengan watak Ron Weasley dalam lapan siri filem Harry Potter itu memperoleh satu juta pengikut di Instagram dalam tempoh empat jam satu minit.

Menurut Guinness World Records, pencapaian Grint itu 43 minit lebih awal daripada Attenborough yang mencatat masa empat jam 44 minit ketika membuka akaun Instagram pada September lalu untuk berkongsi mengenai dokumentarinya berjudul A Life On Our Planet. 

Grint melakukan hantaran pertama di Instagram pada 10 November lalu dengan memuat naik foto bersama bayi perempuannya, Wednesday G Grint.

"Hanya 10 tahun terlewat, tapi saya di sini. Grint on the Gram. Di sini, saya memperkenalkan anda semua Wednesday G Grint," tulisnya.


Siapa sangka, hanya menerusi foto bersama bayinya itu, Grint juga mendapat lebih tiga juta tanda suka dan lebih 100,000 komen daripada pengikut-pengikutnya.

Hingga kini, Grint baru melakukan dua hantaran di Instagram dan dia sudah pun mengumpulkan seramai 3.3 juta pengikut di platform media sosial itu.

Grint yang seakan lama menyepi selama ini berbanding dua rakan baiknya iaitu Daniel Radcliffe dan Emma Watson dilaporkan sudah berkahwin dengan pasangannya dikenali Georgia Groome dan mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Mei lalu.

Pemegang rekod Instagram : 

Rupert Grint - Empat jam satu minit (November 2020)

Sir David Attenborough - Empat jam 44 minit (September 2020)

Jennifer Aniston - Lima jam 16 minit (Oktober 2019)

Duke & Duchess of Sussex - Lima jam 45 minit (April 2019)

Kang Daniel (bintang K-Pop) - 11 jam 36 minit (Januari 2019)

Pope Francis - 12 jam (Mac 2016)

David Beckham - 24 jam (Mei 2015)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2020 @ 12:07 PM