MENINGGAL dunia pada usia 69 tahun akibat kanser.
MENINGGAL dunia pada usia 69 tahun akibat kanser.
Susunan Oleh Michelle Gun

Bintang filem bersiri popular Harry Potter dan Die Hard, Alan Rickman meninggal dunia pada usia 69 tahun akibat kanser, kelmarin.

Pelakon dan pengarah filem itu dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga dan rakannya di London, England.

Menceburi bidang lakonan sejak 30 tahun lalu, Rick­man antara pelakon British paling disegani.

Kemunculan Rickman sebagai Professor Snape dalam lapan filem Harry Potter dari 2001 hingga 2011 menyebabkan jumlah peminatnya di kalangan orang muda bertambah.

Pelakon veteran British, Michael Gambon dalam temu bual bersama stesen radio BBC menyifatkan Rickman lelaki yang ceria.

“Semua orang sayang Alan Rickman. Dia seorang yang ceria, kreatif dan lucu,” katanya.

Gambon turut memuji Rickman penggiat seni yang bijak dan mempunyai suara yang bagus.

“Dia bukan sahaja pintar, tetapi mahir dalam penulisan dan mengarah filem. Dia juga hebat di pentas teater,” katanya.

Ternyata pemergian Rickman kehilangan besar dalam industri perfileman Barat kerana mendiang dikatakan memiliki suara terbaik.

Sebelum menceburi bidang lakonan, Rickman bekerja sebagai pereka grafik dan pada usia 26 tahun dia berjinak-jinak dengan teater dan perfileman di Royal Academy of Dramatic Art.

Lakonan pertama Rickman adalah sebagai penjahat Hans Gruber dalam filem Die Hard arahan John McTiernan pada 1988.

Selain itu Rickman pernah membintangi filem Truly, Madly, Deeply (1991), Sense and Sensibility (1995), Love Actually (2003) dan Galaxy Quest (1999).

Manakala filem arahan Rickman pula adalah The Winter Guest (1995) dan A Little Chaos yang menampilkan Kate Winslet selaku teraju utama pada tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2016 @ 5:01 AM