AMIR MASDI
AMIR MASDI

Kuala Lumpur: Penyanyi popular, Amir Masdi, 28, menjadi pilihan Search sebagai penyanyi utama mereka dalam Konsert Search Gemuruh di Zepp Kuala Lumpur yang akan berlangsung pada 29 Jun ini jam 8 malam.

Pemain gitarnya, Noordin Mohd Taib berkata, Amir menjadi pilihan mereka kerana dia mempunyai pakej seperti ramai peminat dan berkemampuan menyanyikan lagu-lagu rock.

"Dia antara penyanyi generasi baru yang bagus. Dia sendiri seorang 'rockers' dari segi imej, gaya dan minatnya.

"Saya yakin dengannya. Lagipun dia seorang yang agresif di pentas. Ini yang kami mahukan. Saya mohon, sokonglah bakat-bakat tempatan," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai ketiadaan penyanyi Indonesia, Denden dan pemain bass, Yan dalam konsert itu nanti, Noordin berkata, kedua-duanya tidak dapat bersama kerana terikat dengan komitmen lain yang sudah dipersetujui dari awal.

SEARCH
SEARCH

Tempat Yan akan digantikan pemain bass Barbarik iaitu Rozaimi.

Mengulas lanjut, Noordin menafikan berlaku konflik dalam kumpulan Search berikutan ketiadaan Denden dan Yan.

"Sejak awal lagi, saya tidak pernah mengatakan Denden dan Yan adalah anggota tetap Search. Search adalah saya dengan Kid (pemain gitar utama) saja. Denden dan Yan adalah pemuzik undangan dan mereka bebas untuk bermain dengan sesiapa saja. Begitu juga dengan pemain dram, Minn yang turut memiliki band sendiri dan pemain keyboard, Firdaus yang banyak menjadi pemuzik undangan untuk penyanyi-penyanyi popular tanah air.

"Secara kebetulan kali ini Denden dan Yan ada komitmen lain dan mereka tidak dapat bersama kami. Tiada masalah dalam dalam Search. Mereka bebas bermain dengan sesiapa dan ini perkara biasa," katanya.

Selain Amir Masdi, konsert berkenaan turut menampilkan Ritz Metalasia, Muzza, Addy Cradle dan Jovita Pearl dari program X Factor Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2024 @ 4:24 PM