Datuk Seri Siti Nurhaliza pada majlis sidang media konsert David Foster & Friends dianjurkan Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN). Turut serta ketua Pegawai Eksekutif Prihatin, Datuk Mohd Aizuddin Ghazali. FOTO ROHANIS SHUKRI
Datuk Seri Siti Nurhaliza pada majlis sidang media konsert David Foster & Friends dianjurkan Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN). Turut serta ketua Pegawai Eksekutif Prihatin, Datuk Mohd Aizuddin Ghazali. FOTO ROHANIS SHUKRI
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur : Impian Datuk Seri Siti Nurhaliza untuk berkongsi pentas dengan maestro muzik, David Foster akhirnya menjadi nyata apabila diundang membuat persembahan pada Konsert David Foster & Friends Asia 2023 pada 7 Ogos ini di Mega Star Arena, di sini.

Lebih bermakna, kata Siti, 44, pihak pengurusan komposer terkenal dari Kanada itu bukan saja mengundangnya untuk menjayakan konsert di sini, tetapi juga konsert di Singapura yang berlangsung keesokannya.

"Kali pertama saya beraksi bersama Foster ialah di persembahan eksklusif pada 2014. Saya juga berdoa ia bukan persembahan pertama dan terakhir. Selepas itu, saya diundang pihak pengurusan mereka beberapa kali membuat persembahan bersama di Indonesia tapi rezeki tidak menyebelahi saya ketika itu.

"Justeru, saya tidak akan sia-siakan peluang ini ketika ramai penyanyi muda yang bagus di luar tetapi pasukan pengurusan Foster tetap memanggil saya," katanya ketika ditemui di sidang media Konsert David Foster & Friends di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Prihatin, Datuk Mohd Aizuddin Ghazali. Konsert berkenaan dianjurkan Yayasan Prihatin Nasional.

Ditanya pandangannya mengenai Foster, Siti berkata, dia mula meminati Foster ketika diperkenalkan oleh komposer, Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan pada awal pembabitannya dalam industri muzik pada usia 16 tahun.

Katanya, dari situ juga dia mula meminati Foster dan juga penyanyi terkenal, Celine Dion.

"Saya merakamkan lagu popular Celine, The Colour Of My Love dalam album kedua kerana itu lagu ciptaan Foster yang paling diminati," katanya.

Dalam pada itu, Siti bakal menyampaikan sebuah lagu ciptaan Foster dan sebuah lagu popularnya yang masih dirahsiakan lagi.

"Berkongsi pentas dengan Foster adalah impian setiap artis. Saya juga berasa diri ini sangat kecil apabila tengok senarai artis hebat yang terbabit dalam konsert ini.

"Saya sedar diri belum dikenali di peringkat antarabangsa dan hanya dikenali di Asia. Namun, saya percaya belum terlambat untuk dikenali di pentas antarabangsa pada usia 44 tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 3:08 PM