JASON menyampaikan persembahan pada konsert Jason Marz yang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil.
JASON menyampaikan persembahan pada konsert Jason Marz yang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Amirul Haswendy Ashari


AURA positif daripada Jason Mraz menerusi Konsert Jelajah Good Vibes memukau hampir 7,000 penonton di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam kelmarin.

Konsert ini adalah susulan kemunculan album keenam Jason berjudul Know yang dilancarkan pada 10 Ogos tahun lalu.

Menariknya, album itu adalah album studio kelima yang berjaya mencatat Top 10 dalam carta Billboard 200 di Amerika Syarikat (AS).

Persembahan pembukaan dimulakan dengan penyanyi popular tempatan, Aizat Amdan yang menyanyikan lagu Sampai ke Hari Tua.

Tepat jam 8.55 malam, Jason muncul solo secara santai memetik gitar akustik ke tengah pentas menyampaikan lagu pertamanya berjudul You and I Both.

Pada persembahan lagu kedua berjudul Let’s See What The Night Can Do, barulah barisan pemuzik iringan seramai tujuh orang muncul ke tengah pentas.

Selepas persembahan lagu itu, Jason mula berinteraksi dengan penonton dan bertanya khabar dalam bahasa Malaysia.

Laungan ‘Apa khabar Malaysia, you feel good (anda rasa bagus)’ daripada Jason mendapat sahutan kembali oleh penonton dari dalam dan luar negara.

Berdasarkan pemerhatian RAP, ada juga peminat yang datang dari Filipina, Thailand dan Singapura untuk menjadi sebahagian daripada penonton pada malam itu.

Seterusnya, penyanyi dan komposer AS berusia 41 tahun itu menyampaikan lagu ketiga berjudul Living In The Moment kemudian diikuti lagu medley daripada album pertama, Waiting For My Rocket.

“Mari kita raikan suasana positif malam ini dengan angkat tangan sambil bertepuk tangan dengan rakan di sebelah anda!” laung Jason cuba mengajak penonton untuk menghargai kehidupan dan persahabatan.

Sepanjang konsert, Jason turut menyebarkan aura positif dengan mengajak penonton supaya menghargai apa saja bunyi dan suasana yang ada di sekeliling mereka.

“Ketika kanak-kanak, saya paling suka bunyi pembersih hampagas yang saya sifatkan mempunyai bunyi menarik.

“Apabila ibu sedang membersih rumah, saya akan mencipta melodi daripada bunyi alat itu,” katanya.

Selain itu, dia juga menghargai bunyi mesin jahit, malah pernah dicabar kawan mencipta lagu mengenai mesin jahit.

Daripada cabaran itu, dia menghasilkan lagu berjudul Details In The Fabric yang turut menjadi lagu kelima dipersembahkan pada malam itu.

Pada persembahan lagu keenam, dia kemudian melakukan sedikit gimik menjadi pemain ‘puppet’ menyampaikan lagu More Than Friends yang juga lagu duet bersama Megan Trainor dalam album Know.

Sebanyak 19 lagu dipersembahkan pada malam itu termasuk lagu yang mengangkat nama Jason Mraz di Malaysia berjudul I’m Yours dan Lucky.

Persembahan berlangsung selama dua jam berakhir dengan lagu Love Someone sekitar jam 11 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 5:00 AM