BLUE teruja dapat kembali membuat persembahan di Malaysia.
BLUE teruja dapat kembali membuat persembahan di Malaysia.
Zaara Talita


Kumpulan Blue yang dianggotai oleh empat jejaka tampan iaitu Lee Ryan, Duncan James, Anthony Costa dan Simon Webbe pernah mencetuskan fenomena di Malaysia sejak tahun 2000 lagi.

Biarpun sudah semakin berusia, keempat-empat jejaka tampan itu ternyata masih digilai dan diminati sehingga sekarang.

Selepas sekian lama tidak mengadakan konsert di Malaysia, kumpulan pop kelahiran Britain itu kembali menggegarkan Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) menerusi konsert Blue 20th Anniversary Heart & Soul Tour baru-baru ini.

Kehadiran peminat setia kumpulan yang pernah menjadi kegilaan satu ketika dulu itu diraikan dengan penuh meriah.

Konsert dimulakan dengan lagu Sorry Seems To Be The Hardest Word sangat menggamit memori zaman persekolahan penulis.

Biarpun tanpa kehadiran penyanyi bersama lagu berkenaan iaitu Elton John, namun sorakan persembahan pembukaan menggamatkan suasana konsert.

Dalam interaksi pertama bersama peminat yang hadir, kumpulan itu meluahkan rasa teruja kerana dapat kembali membuat persembahan di Malaysia.

Mereka turut menzahirkan penghargaan kepada peminat yang tidak jemu menyokong sejak 20 tahun lalu.

BLUE terharu dengan sokongan peminat sejak 20 tahun lalu.
BLUE terharu dengan sokongan peminat sejak 20 tahun lalu.

Simon mengimbas kembali sambutan diberi peminat ketika mereka bertandang ke Malaysia pada awal pembabitan sebagai kumpulan vokal.

"Selepas Singapura, kami berada di sini. Anda (penonton) yang hadir pada malam ini benar-benar hebat," kata Simon.

Persembahan Blue turut diserikan dengan rangkaian lagu hit antaranya You Make Me Wanna, Guilty, Breathe Easy, Fly By dan banyak lagi.

Selain itu, Blue juga turut menyanyikan lagu-lagu dari album terbaharu Heart & Soul mereka seperti tajuk albumnya sendiri, Dance with Me, Ultraviolet, Paradise dan banyak lagi.

Mereka mengakhiri persembahan dengan lagu hit yang menerima sambutan luar biasa, All Rise dan diakhiri dengan lagu encore iaitu One Love.

Konsert 'Blue 20th Anniversary Heart & Soul Tour' anjuran Hitman Solutions & Happymoon itu direalisasikan atas permintaan yang tinggi terhadap konsert dari pelbagai genre.

Bagaimanapun, sebagai peminat setia kumpulan itu, vokal salah seorang anggotanya iaitu Lee Ryan dilihat kurang memberangsangkan.

Ryan yang terkenal dengan lantunan nada yang tingginya gagal membawakan bahagian nyanyiannya dengan baik.

Walaupun konsert berkenaan berdurasi selama 75 minit, terdapat beberapa kejutan bagi mereka yang berpeluang hadir, pelakon popular tanah air, Diana Danielle tampil membuat persembahan pembukaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2023 @ 6:46 AM