SONG Ji Hyo terpaksa guna wang sendiri bayar pengurus serta kakitangannya.
SONG Ji Hyo terpaksa guna wang sendiri bayar pengurus serta kakitangannya.
Georgie Joseph


ANNYEONGHASEYO! Selepas Uzurocks menamatkan kontrak pelakon Song Ji Hyo pada April lalu, agensi terbabit berjanji membayar wang penyelesaian, namun gagal berbuat demikian sehingga sekarang.

Kegagalan itu berlaku disebabkan agensi terbabit masih berdepan masalah tunggakan gaji kepada pekerja.

Menurut laporan, jumlah bayaran yang belum dilunaskan kepada Song Ji Hyo adalah berjumlah RM3.2 juta.

Disebabkan belum dilunaskan, pelakon terbabit terpaksa menggunakan wang sendiri membayar pengurus serta kakitangannya yang lain.

Song Ji Hyo juga sudah memfailkan aduan terhadap wakil Uzurocks iaitu CEO A. Dia menuduh individu terbabit melanggar beberapa akta termasuk jenayah penyelewengan ekonomi selepas kontraknya dilucutkan.

Meskipun Uzurocks berjanji wang penyelesaian untuk isu itu, ia tidak dikotakan menyebabkan pembayarannya terus tertunggak beberapa kali sehingga kini.

Asalnya agensi itu yakin dapat membayar Song Ji Hyo dalam tempoh hujung April hingga 10 Mei lalu. Kemudian ditangguh pula dan mereka berjanji melangsaikan jumlah bayaran itu pada 30 Jun lalu.

Bagaimanapun, janji tinggal janji kerana pelakon itu terus kempunan wangnya. Wakil guamannya juga sudah memaklumkan pemberita bahawa belum ada bayaran diterima sehingga kini.

Lebih memburukkan keadaan, kakitangan terkini Uzurocks turut berdepan masalah tunggakan gaji.

Baru-baru ini, isu terbabit terus dibongkar sehingga kakitangan agensi itu sendiri berfikir untuk membuat laporan terhadap CEO A. Dia berjanji membayar gaji mereka dalam tempoh terdekat.

"Semua kakitangan tidak dibayar. Kalau tidak menerima bayaran, mereka bersedia dedahkan mengenai CEO A," kata wakil jurucakap daripada agensi terbabit.

Menurut sumber sah dari Uzurocks juga, mereka sangat kecewa disebabkan kakitangannya tidak dibayar gaji tepat pada masa.

CEO A beralasan dan mendakwa tuntutan pelaburan dibuat dari Amerika Syarikat berdepan kesulitan. Sumber pelaburan terbabit juga masih samar-samar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2023 @ 6:23 AM