Sanusi.
Sanusi.
Noorazura Abdul Rahman


Sungai Petani: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengibaratkan anak syarikat Perbadanan Menteri Besar (MBI), Kedah Agro Holdings Berhad (Kedah Agro) umpama lintah apabila tidak mampu menjana pendapatan sendiri.

Menteri Besar itu berkata, Ketua Audit Negara pernah memberi teguran kepada Kedah Agro kerana bermasalah pada 2016 selepas kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu membenarkan MBI menampung sebahagian pembayaran gaji kakitangannya yang diamalkan sehingga kini.

"Saya punya polisi jelas, dah diumum pada 2020 iaitu mana-mana anak syarikat kerajaan negeri (GLC) yang tak boleh menyumbang kepada kerajaan, hisap darah, kita tutup tapi tak ditutup.

"Tujuan tubuh GLC untuk berniaga, dapat projek kerajaan untung pulang balik kepada kerajaan. Kalau ada 30 orang kerja dalam itu, makan 'kedarah', sumbang tak pernah, tapi kikis lagi, itu bukan GLC. Itu lintah, saya tak mahu bela lintah," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi MBI Kedah berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa anjuran Pas Kawasan Sungai Petani, di sini, malam tadi.

Sebelum ini, tular surat dalam media sosial yang didakwa dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kedah berkaitan aduan isu bayaran gaji serta pengoperasian Kedah Agro.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim dipetik berkata, Kedah Agro akan membayar kira-kira RM560,000 gaji semasa dan tunggakan sebelum Hari Raya Aidilfitri seperti diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengarahnya, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri mempertimbang untuk memberikan pinjaman kepada Kedah Agro bagi menyelesaikan tunggakan gaji kesemua 24 kakitangan syarikat itu.

"Nak pinjam pun saya tengok nak bayar dengan apa, berapa lama tempoh, sebulan berapa. Saya tak mahu kerana nak tolong 24 orang ini, saya khianat amanah satu Kedah. Duit kerajaan, pembayar cukai tak boleh guna bayar gaji syarikat yang tak ada dalam perbelanjaan kerajaan.

"Ini dipanggil tatakelola yang depa sering cakap, bila kita buat depa marah. Belum pernah sejak ditubuh Kedah Agro kerajaan bayar gaji, yang boleh dibuat adalah syarikat pinjam duit kerajaan. Bila terjadi isu (tunggakan gaji) saya tak tau, depa hantar memorandum (baru tahu), selama ini hampa buat apa," katanya.

Muhammad Sanusi turut mempertikai kakitangan Kedah Agro yang didakwa bekerja dari rumah sejak Ogos tahun lalu dan ia tidak akan membantu syarikat berasaskan pertanian itu untuk menjana pendapatan.

Beliau turut menyelar pihak yang menyerangnya kerana menyifatkan mereka hanya mengambil kesempatan dan bukan atas dasar simpati kepada kakitangan itu.

"Ada orang kesian kata tak payah tutup takut ada orang hilang kerja, tularkan merata-rata kata saya tak bayar gaji dia.

"Saya akan uruskan isu ini ikut tatakelola, bukan tak mau tolong tapi hang kena berhutang kat aku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2024 @ 2:27 PM