ZAFIR, gambar fail. FOTO NSTP
ZAFIR, gambar fail. FOTO NSTP
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah sedang berusaha menyelesaikan isu gaji kakitangan anak syarikatnya, Kedah Agro Holdings Berhad (KAHB) yang tertunggak sejak September lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif MBI Kedah, Zafir Annuar Ghazali, berkata pihaknya sedang meneliti isu berkenaan dan akan merujuknya kepada kerajaan negeri bagi mendapatkan penyelesaian terbaik.

Jelasnya, antara langkah segera perlu diambil adalah menangani isu kelewatan dan tunggakan gaji kakitangan KAHB selain melihat peluang syarikat itu meneroka bidang perniagaan baharu.

"KAHB baharu sahaja menerima tawaran projek perniagaan baharu, sekiranya semua urusan lancar, sejumlah pendapatan akan diterima KAHB.

"Sumber baharu pendapatan ini akan segera digunakan untuk membayar gaji kakitangan yang tertunggak," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Zafir berkata, masalah yang timbul dijangka dapat diselesaikan secara berperingkat termasuk isu caruman kakitangan KAHB kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang tertunggak.

"Proses ini dijangka akan mengambil sedikit masa kerana membabitkan beberapa agensi berkaitan. Selebihnya kita akan bincang dan putuskan dalam mesyuarat bagi mencari kaedah lain.

"Untuk caruman KWSP, komitmen itu adalah melalui kaedah bayaran ansuran yang diluluskan secara serahan cek tarikh tertunda berjumlah RM7,000 hingga RM36,000 setiap bulan," katanya.

Terdahulu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong pada sidang medianya, memaklumkan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JKTSM) sudah memberikan notis kepada KAHB supaya menyelesaikan segera isu tunggakan gaji kakitangannya.

Anak syarikat MBI Kedah itu, didapati tidak membayar gaji kakitangan sejak September lalu, dan ini adalah bercanggah dan melanggar Seksyen 19 Akta Kerja 1955.

Difahamkan, operasi KAHB dikatakan mula bermasalah sejak 2016 dan berlarutan sehingga kini, menyebabkan MBI Kedah terpaksa menanggung kos operasi anak syarikat miliknya itu termasuk membayar gaji kakitangannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2024 @ 7:05 PM