Lia dan suaminya, Arash
Lia dan suaminya, Arash
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyanyi Lia Aziz, 20, menyifatkan pasang surut hubungan dalam rumah tangga adalah lumrah kehidupan dan suami isteri harus saling faham serta menghormati.

Lia atau nama sebenarnya Nur Aliah Farzana Abdul Aziz berkata, dia sebenarnya berasa gerun juga apabila melihat kisah tular berkaitan kemelut rumah tangga pasangan selebriti kini hangat di media sosial.

"Tahun ini rasanya satu cabaran juga kepada pasangan selebriti dengan rantaian kisah kemelut rumah tangga yang berlaku. Sekarang, apabila buka saja media sosial pasti ada bermacam cerita rumah tangga selebriti dikongsikan. Jadi, ada jugalah rasa gerun dalam hati saya.

"Tak dinafikan masalah dalam rumah tangga ini ada bermacam-macam. Setiap pasangan berkahwin berhadapan ujian masalah berbeza. Cuma, doa saya semoga semuanya dapat diselesaikan dan berakhir dengan baik," katanya kepada Harian Metro

Lia yang bakal meraikan ulang tahun pertama perkahwinan dengan suami juga pemain gitar kumpulan Tree Hill, Arash Azimi Anuar, 25, pada 23 Julai depan berkata, dia kini semakin memahami rencah hidup berumah tangga.

"Orang selalu kata, lima tahun pertama dalam fasa perkahwinan itu tidak mudah dilalui. Pasang surut dalam perhubungan suami isteri pasti ada. Namun, saya dan suami selalu berkomunikasi untuk berbincang masalah kami.

"Alhamdulillah, bulan depan (Julai) dah setahun kami berkahwin. Saya berdoa agar rumah tangga kami terus bahagia dan tidak berhadapan dugaan besar. Kami pasangan baharu dan masih banyak lagi perlu dipelajari dalam rumah tangga," katanya.

Penyanyi lagu Kucu Kuca ini berkata, dia teruja akan muncul dengan single baharu, Kerana yang bergenre balada tidak lama lagi. Katanya, rezeki selepas berkahwin masih ada dan dipermudahkan Allah.

Lia yang bakal menggenggam diploma dalam jurusan muzik dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) tahun ini berkata, dia merancang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pula.

"Saya bercadang melanjutkan pengajian untuk ijazah selepas ini, tapi keputusan belum diputuskan lagi sebab saya pun aktif dalam karier nyanyian yang menjadi fokus utama," katanya.

Terdahulu, Lia membuat keputusan berani apabila bernikah pada usia remaja iaitu 19 tahun selepas percintaan selama dua tahun dengan suami, Arash mendapat restu keluarga kedua-dua belah pihak.

Lia berkata, dia tidak pernah meletak sasaran pada usia tertentu untuk mendirikan rumah tangga dan bergelar isteri. Ujarnya, jadi apabila jodoh sampai awal dia menerimanya dengan setulus hati.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 6:40 PM