FOTO tular isteri tua di pelamin pada majlis perkahwinan suami dengan isteri baharu.
FOTO tular isteri tua di pelamin pada majlis perkahwinan suami dengan isteri baharu.
Agensi

Jakarta: Tular gambar dan video di media sosial sehingga ditonton lebih 6.5 juta tontonan apabila seorang isteri yang sedang memangku bayinya di pelamin bersama suaminya yang berkahwin dengan isteri muda.

Majlis perkahwinan di Purwakarta, Jawa Barat itu mencuri perhatian netizen, apabila isteri tua itu sanggup menemani suaminya pada majlis berkenaan.

Wolipop melaporkan gambar detik perkahwinan yang tular itu dirakamkan oleh pemilik akaun TikTok Lia Azka iaitu @lia.sugiandie.

Lia merakam detik isteri pertama yang memakai tudung hitam dan memangku anaknya.

"Isteri tua mengiringi perkahwinan suami dengan isteri muda. Sabar dan tabah, Insya-Allah dapat syurga," tulis TikTok @lia.sugiandie.

Muat naik Lia itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen termasuk ada yang marah dan ada tidak sanggup melihat ketabahan isteri pertama.

Dalam video berdurasi sembilan saat, Lia merakam sesi bergambar dengan pasangan pengantin di akaun TikTok miliknya.

Dia turut menjawab beberapa komen netizen yang ingin tahu mengenai detik perkahwinan di mana seorang isteri tua menemani suaminya untuk berkahwin lagi dengan isteri muda.

"Sudah lama kahwin (nikah), tapi baru majlis resepsi semalam. Semuanya baik-baik saja. Isteri tua dan muda bergaul mesra. Kerana setiap manusia sudah ditentukan takdir atau takdirnya oleh Allah SWT dan sebagai sesama wanita haruslah menyokong masing-masing, yang lain berdoa. Bukan untuk saling bertekak," tulis Lia di ruangan komen.

Menurut Lia, majlis pernikahan diadakan di kediaman pengantin perempuan di Purwakarta, pada 16 Julai lalu.

Wanita berusia 30 tahun itu mengakui masih menjalinkan hubungan baik dengan pasangan pengantin.

"Saya sepupu suaminya (pengantin lelaki)," kata pemilik akaun TikTok yang mengaku bernama Lia Azka itu kepada portal Wolipop melalui WhatsApp.

Lia Azka yang menetap di Purwakarta, Jawa Barat itu mengesahkan si isteri pertama sudah memberi kebenaran kepada si suami untuk berkahwin lagi.

"Semuanya baik-baik saja. Semuanya dengan izin isteri tua," jelasnya.

Lia Azka mendedahkan kedua-dua sang isteri kini tinggal di rumah yang berbeza. Setiap isteri diberikan rumah oleh suami.

"Mereka tidak tinggal serumah, mereka ada rumah sendiri. Isteri tua sudah ada rumah dan isteri muda ada rumah yang dihadiahkan suami," kata Lia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Julai 2022 @ 11:03 AM