Puteri Sarah
Puteri Sarah
Norhayati Nordin


Buang yang keruh, ambil yang jernih.

Ungkapan ini mungkin mudah untuk diucapkan, namun sejauh mana ia dapat dilakukan setulusnya bergantung kepada keikhlasan hati kita sendiri.

Begitu juga dengan pepatah, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Dalam soal ini, pastinya setiap ujian hidup yang datang kepada kita itu berbeza-beza. Ujian individu A, tidak sama dengan individu B dan juga individu C serta seterusnya.

Jadi, kita tidak boleh pukul rata masalah orang lain semuanya menjadi satu. Senang cakap, saiz kasut setiap orang pun tidak sama walaupun dipakai untuk menutupi kaki. Apatah lagi, masalah dalam rumah tangga yang kini menjadi topik utama.

Tak dinafikan, industri hiburan tanah air heboh dan hangat dengan kisah kemelut rumah tangga beberapa pasangan selebriti yang berhadapan proses perceraian. Ada sebab berkaitan poligami, curang, tiada persefahaman dan sebagainya.

Apa pun sebabnya, kita hanya mampu mendoakan yang terbaik agar setiap pasangan menemui penyelesaian diinginkan. Bagi saya, inilah proses kehidupan dan sesiapa di antara kita tidak boleh mengelak apabila ujian itu datang.

Mengimbas tugasan saya ke sidang media khas dibuat pengarah Syamsul Yusof sehari sebelum Ramadan, baru-baru ini, dia lebih meluahkan ketidakselesaan dirinya mengenai media sosial yang disifatkan menjadi tempat berkongsi pelbagai cerita, termasuk peribadi secara meluas.

Selain itu, Syamsul juga memaklumkan sikap berdiam diri dilakukan selama ini untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan berhubung kemelut rumah tangga, akhirnya membuat dia sedar ia bukan tindakan tepat kerana dirinya selebriti.

Daripada apa yang boleh disimpulkan, setiap orang ada cara masing-masing untuk menangani masalah mereka. Pilihan untuk berkongsi masalah itu secara luahan di media sosial atau berdiam diri, kedua-duanya tidak salah pun.

Cuma, kenalah lihat pada konteks kisah itu. Bagi kemelut rumah tangga Syamsul dan Puteri Sarah (gambar), perjalanannya sudah panjang sejak pertengahan tahun lalu lagi. Malah, 'klimaks' pada 6 Januari lalu, apabila Syamsul mengumumkan sudah berkahwin lagi satu di Thailand.

Sekali gus, Puteri Sarah bermadu. Realitinya, tidak semua wanita yang bergelar isteri sanggup berkongsi kasih suami. Kalau ditanyakan pada saya sebagai orang biasa ini pun, sukar untuk saya menerimanya.

Untuk saya sendiri, ia bukan disebabkan tidak yakin suami boleh berlaku adil atau tidak, tapi kepercayaan terhadap pasangan rasanya sudah hilang dan rasa dikhianati. Malah, komunikasi di antara satu sama lain juga penting sekiranya ada perkara tidak disenangi.

Bak kata Syamsul, kita manusia biasa yang tidak sempurna. Jadi, sama ada di pihak dia mahupun Puteri Sarah pasti ada kesilapan masing-masing. Tapi, semuanya sudah berlaku dan masa yang berlalu juga tidak boleh diundur semula.

Cuma, pada Ramadan yang mulia ini diharapkan segala urusan pasangan selebriti bermasalah dalam rumah tangga mereka dipermudahkan dan menemui jalan penyelesaian. Siapa betul, siapa salah, biar undang-undang memutuskannya.

Namun, di sebalik permasalahan rumah tangga ini, sebenarnya memberikan kita ilmu terutama wanita agar lebih memahami urusan perundangan kerana ada akta tertentu untuk sesuatu kes dihadapi.

Bagi segelintir netizen yang mungkin juga sudah 'muak' dengan kisah rumah tangga selebriti dan menyifatkan pengamal media suka mencari sensasi walaupun ketika Ramadan, ia tidak begitu. Kami hanya melaporkan isu semasa yang berlaku.

Malah, mana yang baik itu kita ambil sebagai teladan dan yang sebaliknya dijadikan sempadan. Mengenai kesalahan di pihak mana, itu juga bukan hak kita untuk menjatuhkan hukum. Selagi kes difailkan masih berlangsung, kita ikuti saja perkembangannya.

Tapi, ikutilah dengan bijak, tenang dan tanpa emosi. Macam yang saya katakan, kita tidak duduk di tempat mereka dan tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya. Malah, berilah semangat membina kepada mereka agar segala ujian rumah tangga dihadapi itu berakhir aman.

Bukan saja kepada Syamsul dan Puteri Sarah, tetapi didoakan juga buat semua pasangan suami isteri yang kini berhadapan kemelut rumah tangga akan memperoleh jalan penyelesaian terbaik sebagaimana diharapkan masing-masing dan keluarga.

Penulis wartawan hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2023 @ 7:00 AM