SALAHUDDIN melawat gerai ketika majlis perasmian Franchise International Malaysia 2023 (FIM 2023) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
SALAHUDDIN melawat gerai ketika majlis perasmian Franchise International Malaysia 2023 (FIM 2023) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub menyifatkan penjualan tiket konsert siri jelajah Coldplay oleh sesetengah individu yang mencecah sehingga harga RM43,200 adalah tidak munasabah.

Beliau berkata, rakyat bijak dan mereka tidak sepatutnya membelinya daripada ulat tiket.

"Saya rasa rakyat Malaysia ini bijak. Janganlah beli daripada ulat (tiket). Belilah daripada ejen yang disahkan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia 2023 (FIM2023) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Dilaporkan beberapa individu dipercayai kumpulan 'scalper' atau pembeli tiket hantu menjual semula tiket konsert siri jelajah Coldplay iaitu Music Of The Spheres World Tour (MOTSWT) di Stadium Bukit Jalil pada 22 November depan dengan harga mencecah RM43,200.

Difahamkan, tiket tempat duduk kategori 1 berharga RM1,288 seperti tertera dalam laman web rasmi GoLive-Asia, namun kumpulan 'scalper' mengambil kesempatan dengan menjual tiket berkenaan dengan harga yang tidak masuk akal.

Salahuddin memaklumkan, sehingga kini, pihaknya masih belum menerima laporan rasmi mengenai penjualan harga tiket yang tinggi itu.

"Kalau ada laporan rasmi, kita boleh memberikan nasihat kepada rakyat.

"Apapun mereka nak menonton, tapi biarlah bijak. Janganlah (beli) sampai harga (lebih) RM43,000," katanya.

Beliau berkata, sekiranya ada pihak yang membuat aduan, pihaknya akan menyiasat perkara itu di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2023 @ 3:05 PM