KHAIRY Jamaluddin. FOTO Hazreen Mohamad
KHAIRY Jamaluddin. FOTO Hazreen Mohamad
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: "Ya, saya beli tiket walaupun bukan mudah. Saya beli secara sah."

Demikian kata bekas menteri yang juga penyampai radio Hot FM, Khairy Jamaluddin ketika ditanya sama ada dia membeli tiket Konsert Coldplay Music of the Spheres World Tour yang akan berlangsung pada 22 November ini. 

Khairy atau KJ ditemui di Majlis Rumah Terbuka Hot FM dan Buletin FM berkata, dia kekal dengan pendiriannya, di mana, Malaysia perlu mengalu-alukan kehadiran bintang-bintang besar dari luar negara.

"Masyarakat Malaysia ini ada pelbagai jenis. Ada yang konservatif, ada yang liberal dan sebagainya. Yang konservatif, mereka ada sedikit masalah dengan acara hiburan seperti konsert. Dalam industri hiburan, kita sentiasa berdepan dengan perkara ini. 

"Saya kekal dengan pendirian saya di mana, Malaysia kena menjadi negara yang mengalu-alukan kehadiran artis dari luar. Lagi pula, ia tidaklah keterlaluan," katanya kepada Harian Metro.

Tambahnya, kehadiran nama-nama besar bertaraf antarabangsa ini juga akan membawa kesan baik kepada negara terutamanya dari sudut ekonomi dan pelancongan.

"Kalau kita tutup kehadiran mereka, kita yang akan rugi dari sudut ekonomi dan pelancongan. Selain itu, kerugian juga buat artis-artis tempat untuk mendapat inspirasi daripada kehadiran mereka ini," katanya.

Mengulas isu 'scalpers' atau ulat tiket, KJ menyarankan agar pihak penganjur mengambil iktibar daripada apa yang berlaku dan mencontohi negara luar yang menggunakan sistem lebih menekankan ciri-ciri keselamatan.

"Banyak cara yang kita boleh belajar daripada negara lain. Contohnya, tiket dijual perlu dicetak dengan nama dan nombor kad pengenalan supaya tidak dijual semula (oleh mereka yang mengambil kesempatan).

"Kalau tak dapat pergi, pembeli itu kena jual semula kepada penganjur. 

"Saya rasa, masalah ini bukan berlaku di Malaysia sahaja. Mungkin apa yang berlaku ini, boleh kita jadikan sebagai iktibar. Selepas ini, mungkin kerajaan boleh letakkan syarat kepada penganjur untuk menyusun atur strategi penjualan tiket," katanya.

Terdahulu, KJ muncul memberi pendapat mengenai isu kontroversi kehadiran Coldplay di Malaysia, yang mendapat tentangan daripada pelbagai pihak termasuklah pemimpin parti politik. 

KJ mengulas mengenai perkara itu di rancangan podcast Keluar Sekejap yang dilancarkannya bersama rakan seperjuangannya dalam dunia politik, Shahril Hamdan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2023 @ 8:11 PM