Pachara Apin ketika di Mahkamah Rendah Syariah Petaling bagi memfailkan fasakh terhadap suaminya, pelakon, Afiq Muiz, semalam. FOTO GENES GULITAH
Pachara Apin ketika di Mahkamah Rendah Syariah Petaling bagi memfailkan fasakh terhadap suaminya, pelakon, Afiq Muiz, semalam. FOTO GENES GULITAH
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Isteri pelakon, Afiq Muiz iaitu Pachara Apin menyifatkan suaminya itu lelaki paling dayus.

Pachara menerusi Instagram Story yang mendakwa menjadi mangsa keganasan rumah tangga sepanjang hampir tiga tahun hidup turut mendakwa dia menanggung dan memberikan nafkah kepada suaminya itu.

"Banyak idea kau untuk memalukan saya sekarang. Cakap saya bukan siapa-siapa lagi dalam hidup? Jadi apa yang kau sedang buat sekarang. Kenapa tak bagi kerjasama lepaskan saya?

"Takkan kau masih nak saya kerja bagi kau makan lepas itu kau pukul lagi setiap Jumaat dan Sabtu. Isnin hantar kerja kalau ada 'mood'. Balik dari kerja kau mengadu sakit badan sebab main 'game'.

"Aku yang buang kau jauh-jauh lepas kau pukul aku dengan teruk selama kita berkahwin. Kau memang tidak tahu erti kenang budi? Saya lepaskan dengan tarik laporan polis kau pukul supaya kau boleh berubah. Saya pun bodoh boleh terfikir kau akan berubah," katanya.

Pachara berkata, lelaki yang memukul perempuan adalah lelaki pengecut yang mahu menguasai perempuan.

Menurut Pachara, Afiq tiada hak untuk memukul isteri atau mana-mana individu kerana negara mempunyai undang-undang.

"Keluarga saya sedang menahan hati melihat drama kau. Saudara-mara saya memerhati saja perangai kau dari dulu. Ini hak saya untuk tuntut fasakh yang sepatutnya daripada dulu saya buat.

"Netizen yang belum pernah mengalami tidak faham tapi bagi kaum wanita yang sudah pernah dipukul, dianiaya, dicurangi, tapi sengaja biar gantung tak bertali mungkin akan faham keadaan fizikal dan mental saya.

"Doakan supaya saya tak jumpa lelaki seperti kau. Orang tidak peduli dengan panas baran kau tapi orang mahu kau faham kau tiada hak untuk mendera anak orang lain.

"Kau fikir kau saja manusia dikandung sembilan bulan dalam perut mak kau? Habis aku ini kau ingat dikandung dua minggu oleh mak saya untuk kau senang-senang nak pukul dan dera," katanya.

Sementara itu, cubaan Harian Metro menghubungi Afil bagi mendapatkan reaksinya mengenai dakwaan Pachara ini tidak berjaya apabila dia tidak membalas mesej WhatsApp dan DM yang dihantar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2023 @ 5:05 PM