Ramlah Zainal


Kuala Lumpur : Pengarah, Syamsul Yusof, 39, mengambil tanggungjawab dan meletakkan kesalahan ke atas dirinya berhubung isu pengguguran pelakon popular, Datuk Aaron Aziz, 47, dalam filem terbaru arahannya, The Original Gangster.

Syamsul menerusi hantaran di Insta Story berkata, keputusan menggugurkan Aaron dibuat secara sebulat suara olehnya dan penerbit lain filem itu.

Menurut Syamsul, sesiapa tidak perlu menyalahkan mana-mana pihak atau pelakon lain seperti Sharnaaz Ahmad dan Beto Kusyairy.

"Ia isu kerja antara saya sebagai pengarah dan Aaron sebagai pelakon. Tidak perlu dipanjangkan lagi isu ini," tulisnya.

Sementara itu, Aaron menerusi hantaran di Instagram berkata, dia tidak mahu lagi mengulas mengenai isu terbabit.

"Alhamdulillah, saya minta maaf semua yang 'call' (hubungi) saya tak angkat 'phone call' (panggilan telefon) sebab tak nak komen apa lagi.

"Bila anak bongsu saya naik bilik menangis dan bila isteri saya menangi's itu maksimum dah. 'The one person' (Seseorang) yang selalu nasihat saya adalah isteri. Kalau isteri cakap 'no (tidak) masih boleh bincang. Kalau isteri cakap 'i forbid you' (saya larang awak), itu sudah tahap lain," tulisnya.

Menerusi perkongsiannya lagi, kata Aaron, dia bekerja keras untuk keluarganya dan kesihatan mental mereka sangat penting.

"Rezeki saya bukan di tangan manusia. Saya tumpang rezeki daripada anak-anak dan isteri. Justeru, mereka adalah keutamaan saya. Selamat berpuasa. Semoga Allah SWT melindungi kita semua dari segala fitnah dunia dan akhirat, Amin," tulisnya.

Terdahulu, Syamsul memaklumkan dia sedia bersemuka dengan Aaron untuk menyelesaikan isu membabitkan mereka serta berbaik semula dengannya.

Menurut Syamsul, Aaron tetap sahabatnya dan masalah yang timbul hanya soal kerja semata-mata dan mereka perlu bersikap profesional.

Kelmarin, menerusi satu hantaran video di Instagram, Aaron meluahkan perasaannya selepas Syamsul mendakwa dirinya digugurkan dalam filem Original Gangster atas alasan dia sudah tua, mengalami peningkatan berat badan dan mempunyai masalah kesihatan

Aaron juga terkilan apabila dirinya diperlakukan seperti sampah apabila tidak diperlukan dalam filem terbabit.

Malah, Aaron turut mendakwa dia perlu mengambil suntikan untuk mendapatkan benda badan seperti diinginkan Syamsul dalam filem itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mac 2023 @ 12:34 PM