PETALING JAYA 13 OKTOBER 2020. (UNTUK NAJIY) Pelakon, Hafidz Roshdi ketika penggambaran drama slot Akasia, Rahimah Tanpa Rahim di pusat membeli belah, Subang Parade. KHIS/AZIAH AZMEE
PETALING JAYA 13 OKTOBER 2020. (UNTUK NAJIY) Pelakon, Hafidz Roshdi ketika penggambaran drama slot Akasia, Rahimah Tanpa Rahim di pusat membeli belah, Subang Parade. KHIS/AZIAH AZMEE
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon Hafidz Roshdi meluahkan rasa terharu apabila selebriti popular, Sharnaaz Ahmad sanggup meluangkan waktu untuk memberikan kata-kata semangat terhadapnya yang sedang diuji dengan konflik rumah tangga.

Hafidz menerusi satu hantaran di Instagram berkata, nota yang ditulis pelakon itu memberi kesan mendalam kepadanya.

"Terima kasih banyak-banyak sahabatku kerana meluangkan masa untuk menulis nota yang sangat bermakna bagi menjalani proses ini.

"Saya sangat tersentuh. Tidak lupa juga kepada rakan selebriti, rakan-rakan, peminat, ahli keluarga dan media yang sentiasa mendoakan baik-baik untuk Hafidz. Hanya Allah SWT dapat membalas jasa kalian," tulisnya.

Semalam Sharnaaz tampil memberi pesanan kepada Hafidz dan mendoakan agar pelakon itu tabah menghadapi krisis rumah tangga.

"Nota buat Hafidz. Sahabat, dunia ini kadang-kadang pelik… Allah tengah uji awak dan keluarga.

"Semoga terus kuat buat awak dan isteri. Cepat-cepat sembuh dan kembali perbetulkan mana-mana yang longgar dan silap. Anda boleh hadapi rintangan ini," tulisnya.

Dalam masa sama, Sharnaaz turut memberi pesanan kepada pengikutnya untuk tidak terus menghukum pelakon itu atas kesilapan lalunya.

"2.1 juta yang ikuti aku ini, tolonglah jangan mencurah minyak pada api… semoga dia kembali sihat, dan isterinya kembali mencari kebahagiaan walau bukan bersama dia.

"Cuba ambil yang positif… tak cukup ke negatif dalam harian kita," tulisnya.

Terdahulu Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, memerintahkan Hafidz dihantar ke Hospital Bahagia bagi menjalani pemeriksaan dan rawatan psikiatri.

Perintah itu dikeluarkan Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak selaku Majistret selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar bagi pemeriksaan mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah.

Hafidz, 29, sebelum ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan isterinya, Nurul Shuhada di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya pada 2 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2023 @ 2:35 PM