Hafidz imbau kenangan bersama Athira
Hafidz imbau kenangan bersama Athira

Kuala Lumpur: Ibarat jodoh yang tertangguh, pelakon Hafidz Roshdi rupanya terlalu banyak kenangan sejak bersahabat dengan isterinya Athira Yuhada, 14 tahun lalu.

Hafidz atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi, 29, membongkar banyak foto mereka bersama yang diabadikan sejak zaman persekolahan lagi.

"Kami mula berkenalan tahun 2009 masa tingkatan 3. Sekejap sahaja masa berlalu. Sekarang sudah 2023... 14 tahun kami kenal," tulisnya.

Hantaran itu menjadi bukti bahawa keakraban antara mereka sememangnya sudah terjalin sejak berusia 15 tahun lagi.

Hafidz turut mendedahkan mereka terjalin rapat sehinggalah masing-masing berumur 21 tahun.

Tidak ketinggalan, pelakon Melastik Ke Hatimu 2 terbabit juga memuat naik foto terkini mereka berdua melambangkan cinta kembali bertaut pada 2023.

Minggu lalu, Hafidz sah bernikah dengan Athira di sebuah premis acara di Glenmarie, Shah Alam, pada Jumaat minggu lalu, jam 8.15 malam dengan sekali lafaz.

Ia adalah perkahwinan keduanya selepas sah bercerai dengan isteri, Nurul Shuhada Mat Shukri pada Julai lalu.

Untuk rekod, Hafidz dan Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar, 3 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2023 @ 4:09 PM