FOTO memaparkan bahagian radio dalam kereta yang menampakkan refleksi wajah Noor Nabila di tempat duduk penumpang bahagian depan.
FOTO memaparkan bahagian radio dalam kereta yang menampakkan refleksi wajah Noor Nabila di tempat duduk penumpang bahagian depan.
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Bekas suami kepada pelakon Erra Fazira dan selebriti Indonesia, Laudya Cynthia Bella, Engku Emran seolah-olah memberi bayangan mengenai hubungan istimewanya dengan Noor Nabila.

Perkara berkenaan dikongsi ahli perniagaan itu menerusi hantaran di Instagram dengan muat naik sekeping foto memaparkan bahagian radio dalam kereta yang menampakkan refleksi wajah Noor Nabila di tempat duduk penumpang bahagian depan.

Menerusi perkongsian itu turut tertera tajuk lagu By Your Side nyanyian Sade di skrin radio kereta.

Lebih menarik, duda anak satu itu turut muat naik keterangan romantis dalam hantaran foto itu.

"Choppy until you came along (Sukar sampailah kau datang dalam hidupku)," tulisnya.

Bagaimanapun, Emran menutup ruangan komen hantaran foto itu.

Sehingga kini, Engku Emran mahupun Noor Nabila belum lagi membuka mulut bagi mengesahkan spekulasi hubungan mereka yang didakwa sudah bertunang.

Khabar angin percintaan mereka mula tercetus selepas tular video yang memperlihatkan Engku Emran menghadiri sesi ceramah di kediaman Noor Nabila, baru-baru ini.

Engku Emran dilihat menikmati hidangan makan malam bersama ahli keluarga Noor Nabila selepas sesi ceramah berakhir.

Sebelum ini, hubungan pasangan itu turut menjadi tumpuan netizen apabila gambar mereka berbasikal bersama rakan lain dimuat naik di Instagram.

Nabila pernah berkahwin dengan pelakon Sharnaaz Ahmad, namun bercerai Julai tahun lalu selepas hampir setahun berdepan kemelut rumah tangga. Mereka dikurniakan anak lelaki, Jebat Jayden.

Engku Emran juga berpisah dengan Laudya Cynthia Bella, Julai tahun lalu selepas dua tahun mendirikan rumah tangga.

Terdahulu, hasil perkahwinan pertama Engku Emran dan Erra, pasangan itu dikurniakan anak perempuan, Engku Aleesya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mac 2021 @ 1:51 PM