Zabidi Mohamed.
Zabidi Mohamed.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: "Demi Allah dan rasul, saya akan lawan. Mereka bukan sekadar menghina, tetapi mengajar untuk memurtadkan."

Demikian kata penulis Zabidi Mohamed yang lantang melawan kewujudan filem Mentega Terbang, yang didakwa menjadi medan usaha untuk memurtadkan umat Islam.

Zabidi ketika dihubungi berkata, dia sudah menerima notis tuntutan daripada peguam dilantik oleh pasukan Mentega Terbang, sekali gus sudah menunggu kehadiran surat itu sejak awal lagi.

"Saya sudah menjangkakan dan memang menunggu pihak produksi untuk menyaman saya. Bila surat dihantar kepada saya melalui emel, ia memang satu benda yang saya tunggu.

"Surat yang dihantar pada 3 Mac melalui peguam mereka itu adalah surat tuntutan untuk saya memadamkan semua hantaran saya yang berkaitan dengan Mentega Terbang, dan juga untuk saya membuat permohonan maaf.

"Saya tak ada memberi maklum balas apa-apa kepada mereka secara langsung. Saya tunggu surat saman mereka sebab dalam surat itu, tertulis, saya perlu bertindak dalam masa 48 jam," katanya kepada Harian Metro.

Zabidi yang juga penulis skrip dan bekas peguam berkata, dia menyahut cabaran pengarah filem itu, Mohd Khairi Anwar, yang meminta menonton filem itu secara keseluruhan sebelum membuat kesimpulan.

"Apa yang saya muat naik itu adalah pendapat peribadi dan juga mewakili umat Islam di Malaysia sebab, dari awal sampai akhir, Mentega Terbang memaparkan satu usaha terang-terangan untuk memurtadkan.

"Pengarahnya mencabar kita semua untuk menonton keseluruhan cerita itu sebelum berikan sebarang komen dan saya menyahut cabaran itu. Saya tonton dan A sampai Z dan membuat kesimpulan.

"Saya rasa, mereka memang sudah ada niat (usaha untuk memurtadkan), bukan tersasul, bukan tidak sengaja mahupun terlajak dan itulah yang ada dalam rancangan mereka," katanya.

Tambah Zabidi, dia juga menerima sokongan daripada pelbagai persatuan dan organisasi, yang turut membantah mengenai jalan cerita dalam filem itu.

"Banyak badan bukan kerajaan (NGO) dan peguam beragama Islam serta Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) yang menghubungi saya, menyatakan sokongan mereka dan mahu membantu saya membuat pembelaan secara percuma.

"Hampir semua persatuan dalam industri seni kreatif Malaysia, termasuklah Persatuan Seniman membantah usaha menghina Islam dalam platform filem sebegini.

"Ramai juga penerbit dan pengarah filem menghubungi saya, menyokong usaha saya untuk menghalang usaha memurtadkan umat Islam yang dibuat menerusi filem ini," katanya.

Terdahulu, peguam yang mewakili pasukan Mentega Terbang sudah menghantar notis tuntutan kepada Zabidi bertarikh 3 Mac yang antara lain memintanya untuk membuat permohonan maaf secara terbuka atas kenyataan fitnah yang dibuat terhadap pasukan filem terbabit.

Selain Khairi, empat lagi individu yang terbabit dalam penghasilan filem Mentega Terbang iaitu Tan Meng Kheng, T Arjun, R Vishnuvarman dan Ti-Teng Hui turut menafikan sebarang dan semua bentuk dakwaan bahawa filem itu sama sekali berusaha untuk menghujat, mengkufur dan berhasrat untuk mewujudkan budaya murtad dalam kalangan orang Islam seperti didakwa Zabidi.

Notis itu turut mendakwa penulisan Zabidi adalah tidak benar, berniat jahat dan fitnah. Ia juga bertujuan untuk menjejaskan imej, reputasi dan kredibiliti mereka untuk mendatangkan kutukan dan ancaman.

Harian Metro cuba menghubungi penerbit filem itu, Meng Kheng, namun, gagal dihubungi dan tidak memberikan sebarang maklum balas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2023 @ 3:31 PM