FILEM  Mentega Terbang  menjadi kontroversi kerana mengandungi babak yang dianggap bertentangan dengan Islam.
FILEM Mentega Terbang menjadi kontroversi kerana mengandungi babak yang dianggap bertentangan dengan Islam.
Wan Asrudi Wan Hasan


Sejak beberapa minggu lalu heboh diperkatakan mengenai filem Mentega Terbang yang didakwa mempersendakan Islam.

Filem indie arahan Mohd Khairi Anwar Jailan diterbitkan oleh Anomalist Production dan Meng Kheng Entertainment ditayangkan melalui platform penstriman Viu bulan lalu dengan skrip ditulis bersama Khairi Anwar, Arjun Thanaraju dan Ting Teng Hui.

Selepas tular filem berkenaan ditarik semula tayangannya dari platform terbabit pada 27 Februari lalu atas arahan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Ramai yang masih berang dan tertanya-tanya mengenai karya seni yang dihasilkan oleh pengarah dan dijayakan pelakon beragama Islam ini.

Malah karya ini disifatkan oleh pemerhati, penulis dan bekas peguam, Zabidi Mohamed sebagai karya yang penuh dengan elemen blasphemy bermaksud menghina, meremeh, merendah-rendahkan, memperlecehkan, menodai dan mempersendakan agama.

Ada benarnya 'lesen' berkarya, kreativiti naskhah tidak boleh melangkaui kebenaran serta kesucian agama Islam.

Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sudah membuka kertas siasatan membabitkan filem ini. Kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), D5 Bukit Aman mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan.

Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Filem Mentega Terbang atau Butter Fly berdurasi sejam 45 minit menjadi bualan hangat kerana mengandungi babak seorang bapa yang berfikiran terbuka apabila tidak menghalang anak memilih agama, di mana perbuatan itu bertentangan dengan Islam.

Selain itu dialog watak kanak-kanak perempuan bernama Aishah menjadi perdebatan kerana dianggap boleh menimbulkan keraguan dalam kalangan penonton.

Malah, bekas Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut memberikan pandangan dan rumusan tersendiri mengenai filem ini.

Bekas Menteri Agama itu juga menjelaskan menemui banyak unsur memperlecehkan Islam dan agama lain dalam filem itu.

Mentega Terbang juga meletakkan beban kesalahan kepada watak Muslim berbanding agama-agama lain.

Ia turut menampilkan watak penganut Kristian yang kelihatan baik, tetapi tidak menghormati ajaran Islam, begitu juga seorang Hindu yang terang-terang melanggar ajaran agamanya.

Minat dan kesungguhan seseorang terhadap agama lain pada asasnya tidak menjadi sebarang masalah. Malah Islam sendiri mengiktiraf ilmu perbandingan agama dan ia bukan sesuatu yang baharu dan disebut dalam al-Quran dan kajian oleh ilmuan Islam.

Justeru, karya seni yang menyentuh sensitiviti masyarakat perlu diberi perhatian oleh pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan agensi berkaitan supaya melakukan kerjasama dalam membincangkan langkah yang harus diambil bagi mengelak kejadian sama berulang.

Selain pelaksanaan konklusif dalam menangani perkara ini sebagai contoh meletakkan pra-syarat tertentu dalam menghasilkan karya seni dan memperkemaskan akta bagi tujuan berkenaan.

Malah, pihak penapisan filem dan drama perlu diberikan peranan lebih meluas terhadap filem dan drama yang dimuat naik dalam penstriman video dalam talian.

Penulis Penolong Pengarang Hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2023 @ 12:15 AM