ERRA Fazira. FOTO Hazreen Mohammad
ERRA Fazira. FOTO Hazreen Mohammad
Ramlah Zainal

Kuala Lumpur: Kemunculan Erra Fazira sebagai penyampai radio atau DJ di slot Duo Sinar, stesen radio Sinar FM sejak 7 Februari lalu hanya sementara saja.

Erra atau nama sebenar, Fazira Wan Chek, 49, berkata, dia semakin seronok dan jatuh cinta menjadi penyampai radio dan pada masa sama dapat bergandingan dengan penyampai radio berpengalaman.

"Sebab itu saya bersetuju untuk menggalas tanggungjawab ini selama enam minggu," katanya ketika ditemui di majlis pelantikannya sebagai duta jenama Captain Dolphin di sebuah hotel, di sini.

Dalam slot itu, Erra berganding dengan Faliq Hikyle dan Hefny Sahad setiap Isnin hingga Jumaat bermula jam 3 hingga 7 petang.

Bercerita mengenai kerjaya sebagai penyampai radio, Erra berkata, ia mencabar dan memberi kepuasan kepada dirinya.

"Saya seorang yang 'introvert' dan tidak banyak bercakap. Tugas sebagai penyampai radio memerlukan saya banyak bercakap, kongsi idea dan secara spontan.

"Saya juga tak selesa menjadi pendiam dan pemalu sekali gus ia mencabar saya sebagai penyampai radio untuk menjadi lebih berani," katanya.

Pada masa sama, kata Erra, dia juga meminta tip daripada penyampai radio berpengalaman seperti Linda Onn dan Halim Othman.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada dia merancang untuk menjadi penyampai radio sepenuh masa, Erra berkata, dia belum lagi ada perancangan ke arah itu.

"Pihak Sinar FM ada menawarkan saya kontrak selama setahun kerana mendapat maklum balas yang bagus daripada pendengar sebelum ini tapi saya belum bersedia untuk menerima tawaran terbabit kerana ada komitmen lain," katanya.

Dalam laporan sebelum ini, pelakon, penyanyi dan pengacara itu pernah menimba pengalaman mengendalikan segmen pagi di Sinar FM bersama Angah, Jepp dan Rahim selama sebulan pada April tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2023 @ 1:44 PM