Siti Elizad
Siti Elizad
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Pelakon dan penyampai radio Sinar FM, Siti Elizad mengumumkan dia sudah mengundurkan diri dari stesen radio berkenaan berkuat kuasa hari ini.

Menurut Siti Elizad atau nama sebenar, Siti Elizad Mohamad Sharifuddin, 39, dia membuat keputusan itu kerana percaya sudah cukup menimba pengalaman berharga sebagai penyampai radio selama lima tahun dengan stesen berkenaan.

"Saya menceburi kerjaya sebagai penyampai radio di Sinar FM sejak 2019 kerana ingin mencari pengalaman baru.

"Banyak ilmu yang ditimba sepanjang menjadi penyampai di mana saya perlu berfikir di luar kotak dan sentiasa mengikuti perkembangan isu semasa," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mengenai kerjasama dengan penyampai lain, kata Siti Elizad yang mengendalikan segmen Pagi Di Sinar bersama JepSepahtu, Rahim dan Angah, hubungan mereka juga rapat seperti sebuah keluarga.

"Rakan penyampai lain banyak membantu dan memberi nasihat pada saya sepanjang mengendalikan segmen berkenaan.

"Terus terang, saya tiada sebarang isu dan masalah dengan pihak stesen dan keputusan untuk mengundurkan diri juga atas persetujuan bersama kedua belah pihak," katanya.

Ditanya perancangan selepas ini, kata Siti Elizad, dia mahu kembali merancakkan bidang lakonan seperti dulu.

"Maklumlah, saya dikenali sebagai pelakon dan jiwa juga pada bidang lakonan sejak dulu.

"Kini, saya sudah bersedia untuk kembali berlakon dan mengubat kerinduan peminat untuk melihat saya kembali berlakon seperti dulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2023 @ 3:51 PM