Khairy Jamaluddin deejay Hot FM. FOTO Aswadi Alias
Khairy Jamaluddin deejay Hot FM. FOTO Aswadi Alias
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penampilan kali pertama bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin atau KJ sebagai penyampai radio hari ini berjaya meraih peningkatan sebanyak 75 peratus untuk penstriman langsung digital Hot FM dalam masa satu jam.

Kejayaan KJ Jadi DJ itu didapati meraih peningkatan agak tinggi pendengar dalam tempoh singkat untuk penstriman langsung digital di hotfm.audio dan aplikasi Audio+ yang boleh disifatkan terbaik untuk 'orang baharu' industri penyiaran sepertinya.

Tidak hanya itu, selaras dengan KJ Jadi DJ juga membuatkan laman sesawang, www.hotfm.audio turut berjaya mencapai sebanyak 139 peratus

peningkatan Paparan Halaman Unik kerana ramai orang mendaftar masuk untuk mengakses portal penstriman web.

Segmen Bekpes Hot dikendalikan Johan, Fara Fauzana dan AG sebelum ini nyata berjaya menarik perhatian ramai dengan kemunculan KJ yang mula bersiaran dari jam 6 pagi hingga jam 10 pagi ini dengan coloteh menghiburkan.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Hot FM, KJ disifatkan dengan pantas berjaya membuktikan dirinya seorang yang mampu menjalankan pelbagai pekerjaan selain menjadi ahli politik.

Perwatakan beliau yang peramah dan mudah didekati menarik perhatian pendengar. Dengan video dimuat naik di laman sosialnya, @khairykj secara tidak langsung memberitahu pengikut yang beliau akan bertugas di Hot FM untuk segmen Bekpes Hot bermula hari ini dan meminta orang ramai mencadangkan topik menarik untuk dibincangkan ketika ke udara.

Maklum balas diterima daripada pendengar sangat positif dan seronok kerana Khairy bersifat terbuka. Pada masa sama, beliau membuatkan Johan dan AG berasa lebih mudah untuk bertugas bersama dengannya.

Perbincangan menarik daripada Khairy hari ini menyentuh pelbagai topik, bermula dari pengalaman beliau memenangi pertandingan, populariti 'selfie' tetapi kalah dalam pilihan raya hinggalah minatnya terhadap tawaran kelab bola sepak Johor Darul Takzim (JDT).

Beliau yang dikenali dengan watak amat meminati bola sepak lebih-lebih lagi, pasukan Manchester United juga menarik minat orang ramai.

Walaupun pasukan bola sepak diminati itu pernah kalah dengan pasukan lain, beliau terbuka membincangkan kedudukan Liga Perdana semasa dan secara spontan menyatakan bahawa Manchester United kini mendahului Liverpool.

Khairy juga berkongsi bahawa beliau masih mempunyai tiga tahun untuk menunggu sehingga boleh menerima pencen kerajaannya.

Termasuk, beliau turut menunjukkan sikap belas kasihannya membincangkan tragedi gempa bumi di Turkiye dan kepentingan membantu mereka memerlukan. Berdasarkan komen media sosial, ramai memuji bakat semula jadi Khairy, personaliti menarik dan respons yang jujur, dengan ada mengulas bahawa mereka merasakan beliau adalah kawan lama.

Tampilnya Khairy sebagai penyampai radio menandakan babak baharu dalam kerjayanya yang menunjukkan keupayaan untuk berhubung dengan orang ramai dari semua latar belakang dan kesanggupan beliau untuk mencuba perkara baharu.

Masa depan Khairy disifatkan terlihat lebih cerah dan mendapat sambutan tinggi oleh rakyat Malaysia dalam arena radio ini kerana pendengar pasti akan mengikuti perbincangan yang menghiburkan dan relevan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2023 @ 8:53 PM