Filem Pulau dikategorikan sebagai filem seram
Filem Pulau dikategorikan sebagai filem seram
Syafil Syazwan Jefri


Hulu Klang: Pengerusi Lembaga Penapis Filem (LPF), Datuk Mohd Dusuki Ya'acob menegaskan bahawa pengarah dan pemain industri perfileman tanah air perlu faham mengenai akta dan garis paduan yang ditetapkan LPF.

Dusuki mengeluarkan kenyataan itu selepas diminta mengulas mengenai proses penapisan yang dibuat LPF, yang didakwa mengganggu jalan cerita sesuatu karya filem.

"Pertama sekali, pengarah filem perlu faham mengenai akta dan garis panduan. Sebab itulah kita membuka peluang untuk berbincang," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, pihak LPF tidak menghalang kreativiti pembikin filem, namun, kreativiti itu tidak seharusnya melanggar batasan agama dan budaya Malaysia.

"Kami tak halang kreativiti, tetapi, kalau boleh, faham apa kehendak akta dan garis panduan. Budaya dan agama kita, perlu diikuti. Tak bolehlah berlandaskan kreativiti sehingga melanggar batasan agama," katanya.

Ditanya mengenai filem Pulau yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini, Dusuki berkata, treler yang dimuat naik ke YouTube dengan paparan tidak senonoh itu mungkin adalah strategi pemasaran mereka.

"Filem Pulau itu, kita kategorikan sebagai filem seram, namun, dari mata orang lain, ia dilihat dan dilabelkan sebagai 'soft porn' dan mungkin sebahagian daripada strategi pemasaran mereka untuk pasaran antarabangsa.

"Versi yang diluluskan oleh LPF adalah versi berbeza daripada treler yang ditayangkan di YouTube dan memang mengikut prosedur yang sepatutnya.

"Kami di LPF tidak boleh menyentuh apa-apa kandungan yang disiarkan di YouTube kerana itu di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia," katanya.

Dusuki ditemui pada Taklimat LPF berkenaan Pelaksanaan Klasifikasi Filem 2023 yang berlangsung di Pawagam Mini P Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Klang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2023 @ 8:24 PM