Riadz Radzi

Sejak dua minggu lalu, filem Pulau lakonan Amelia Henderson, Alif Satar, Ikmal Amry, Sanjna Suri dan Joey Leong menjadi tajuk hangat perbincangan ramai selepas tular treler filem seram itu di YouTube yang didakwa memaparkan adegan berbaur lucah, selain menayangkan aksi pelakon wanita berbikini.

Disebabkan itu, filem arahan Euho dan terbitan WebTVAsia dihentam kiri dan kanan, malah dicadangkan supaya diharamkan tayangan pada 9 Mac depan.

Bukan saja netizen, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berpandangan treler filem itu tidak sesuai untuk ditayang.

Lembaga Penapis Filem (LPF) pula mendapati ada perbezaan antara kandungan treler filem Pulau dikongsi di media sosial dengan kandungan dikemuka untuk penapisan.

LPF dalam satu kenyataan memaklumkan kandungan treler ditayang secara dalam talian di luar bidang kuasa LPF.

Pendakwah bebas, Ustazah Asma' Harun lantang membantah selain terkilan dengan tindakan sesetengah pelakon Pulau yang memandang ringan kewujudan babak tidak senonoh dalam filem itu.

Dalam satu hantaran di Facebook, Asma' berkata, kenyataan 'menyelamatkan diri' sebahagian pelakon yang tidak terbabit dengan babak panas bukan alasan kerana hasil keuntungan dikongsi bersama.

Sementara itu, penerbit dari WebTVAsia, Fred Chong mendakwa apa yang dilihat dalam treler itu hanya satu peratus daripada keseluruhan filem.

"Saya harap masyarakat tidak buat andaian sebelum menonton filem ini secara keseluruhan.

"Kami tiada niat menyinggung mana-mana pihak. Segala bahan promosi filem seperti treler, poster dan filem Pulau sendiri melalui proses pemerhatian lanjut daripada LPF termasuk senarai wajib tayang daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas)," katanya.

Apa saja tentangan, kritikan dan pujian diterima, ia secara tidak langsung memberikan promosi percuma buat filem ini.

Treler filem ini di saluran YouTube WebTVAsia sudah mencatat 1.2 juta tontonan dan lebih 5,000 komen selepas 11 hari dimuat naik.

Difahamkan, treler berdurasi dua minit 35 saat itu masih tidak disunting dan kekal menayangkan babak yang didakwa 'panas' itu.

Apa pun, filem Pulau bukan 'mangsa' terbaharu untuk situasi seperti ini. Ia sudah berlaku lama sejak era 1980-an apabila banyak produk seni baik filem, drama, album dan lagu diharam atau digam untuk tayangan di negara ini apabila dikatakan mengandungi elemen dan babak seks, tahyul dan keganasan.

Malam, filem Allahyarham Tan Sri P Ramlee seperti Sumpah Orang Minyak, Sitora Harimau Jadian, Gelora dan Dr Rushdi juga pernah diharamkan atau dipotong babak tertentu.

Begitu juga Aziz M Osman yang namanya memuncak selepas mengarah filem Fenomena pada 1990 terpaksa berdepan masalah sama apabila filem keduanya, Fantasia yang sepatutnya ditayangkan pada 1991 diharamkan oleh LPF ketika itu.

Ini kerana filem lakonan Erma Fatima, Mustapha Kamal, Kuza, Melissa Saila, Zarina Zainuddin dan Faizal Hussein itu dikatakan mengandungi unsur tahyul dan syirik melampau.

Namun, selepas disunting semula, ia akhirnya ditayangkan beberapa tahun kemudian dan ditukar kepada judul Fantasi.

Malangnya, sambutan tidak seperti diharap. Mungkin kesan 'pengharaman' menghilangkan keterujaan penonton.

Bercerita mengenai 'haram' dan 'gam' ini, tentu ramai masih ingat ketegasan Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat ketika memegang jawatan Menteri Penerangan pada 1987 hingga 1999 di bawah kabinet Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sebelum kewujudan stesen televisyen berbayar, stesen radio swasta dan platform penstriman over the top (OTT) seperti hari ini, RTM cukup 'berkuasa' untuk mengharam dan menggam produk seni dan artis tanah air.

Mohamed Rahmat atau Tok Mat ketika itu tegas terutama terhadap artis lelaki berambut panjang. Lebih-lebih lagi band rock.

Lagu mereka digam di stesen radio, tidak boleh keluar TV dan paling malang, kerajaan tidak mengeluarkan permit jika mereka mahu mengadakan konsert.

Diharapkan situasi seperti ini tidak berlaku dalam industri hiburan tanah air. Bukan perlu menerima bulat-bulat unsur seks, tahyul dan keganasan dalam mana-mana karya seni, tetapi hayati dengan fikiran terbuka.

Jika ia terlalu ketara atau ekstrem, wajar kita tolak. Namun jika ia sekadar 'penyendal' dan tidak menggambarkan keseluruhan jalan cerita atau lagu, tidak perlu kita 'berkokok' dan menolaknya mentah-mentah.

Setiap kreativiti perlu dihargai, tetapi perlu dengan cara yang betul dan bijak.

Penulis Pengarang Hiburan, Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2023 @ 6:15 AM