Barisan bintang filem Pulau yang dibintangi barisan pelakon Gen-Z bersama Penerbit dan Pengarah di Plaza Sungai Wang. FOTO AMIRUDIN SAHIB
Barisan bintang filem Pulau yang dibintangi barisan pelakon Gen-Z bersama Penerbit dan Pengarah di Plaza Sungai Wang. FOTO AMIRUDIN SAHIB
BERNAMA

Putrajaya: Lembaga Penapis Filem (LPF) mendapati terdapat perbezaan antara kandungan treler filem 'Pulau' yang dikongsikan di media sosial dengan kandungan dikemukakan untuk penapisan.

Mengambil maklum isu berbangkit selepas promosi filem itu dibuat melalui perkongsian poster dan sedutan treler filem menerusi media sosial, LPF dalam satu kenyataan semalam juga memaklumkan bahawa kandungan treler yang ditayang secara dalam talian adalah di luar bidang kuasa LPF.

LPF yang terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) melaksanakan tugas berdasarkan Akta Penapisan Filem 2002 (Akta 620) yang menetapkan fungsi penapisan filem dan bahan publisiti filem yang disiarkan, dipamerkan, disebarkan, ditayangkan, diedarkan atau dipancarkan secara fizikal (konvensional) kepada masyarakat umum di Malaysia, kecuali melalui internet, katanya, semalam.

LPF turut berkata, pihaknya akan meneliti dan memberikan perhatian khusus berpandukan kepada Garis Panduan Penapisan Filem (GPPF) KDN 2010 yang merangkumi aspek-aspek seperti keselamatan dan ketenteraman awam; keagamaan; sosiobudaya; serta ketertiban dan ketatasusilaan; sebelum mengeluarkan sesuatu keputusan ke atas penapisan kandungan dan bahan publisiti filem.

"LPF sentiasa peka dengan tatasusila serta sosiobudaya masyarakat Malaysia dan melaksanakan penapisan filem sebagaimana yang ditetapkan dalam garis panduan," katanya.

LPF berkata, filem Pulau adalah sebuah filem seram dan bukan filem porno seperti yang digembar-gemburkan.

Filem Pulau yang bakal ditayangkan pada Mac depan dikecam terutamanya di laman media sosial oleh warganet yang mempertikaikan kelulusan karya tersebut kerana didakwa mengandungi adegan panas dan lucah.

Kelmarin, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil turut berpandangan treler filem Pulau tidak sesuai untuk ditayangkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2023 @ 7:01 AM