PENGERUSI  Lembaga Penapisan Filem, Datuk Dusuki Ya’acob pada Majlis Taklimat Pelaksanaan Klasifikasi Filem 2023 di Finas.
PENGERUSI Lembaga Penapisan Filem, Datuk Dusuki Ya’acob pada Majlis Taklimat Pelaksanaan Klasifikasi Filem 2023 di Finas.
Syafil Syazwan Jefri

AKHIR-AKHIR ini, antara isu yang hangat diperkatakan dalam industri perfileman tanah air adalah, mengenai pemotongan dan penapisan yang dilakukan oleh pihak Lembaga Penapis Filem (LPF) terhadap beberapa karya filem tempatan.

Ada yang mengikut sahaja kehendak pihak berwajib tidak kurang juga ada yang menentang dan menganggap penapisan daripada LPF mencacatkan jalan cerita sesuatu karya.

Sebagai penonton filem dan pemerhati dari jauh, saya mencari tahu beberapa pendapat serta berkesempatan hadir ke taklimat LPF berkenaan Pelaksanaan Klasifikasi Filem 2023 yang berlangsung di Pawagam Mini P Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Klang, baru-baru ini.

Ada beberapa pandangan dari sudut pandang saya sebagai pemerhati neutral, tanpa sebarang manfaat peribadi memandangkan saya sendiri tidak 'bemain' di dalam cabang seni ini.

Sebagai penonton, saya inginkan satu karya yang luar daripada kebiasaan kotak pemikiran, sesuatu yang 'berani' untuk dituangkan ke dalam bentuk visual dan sesuatu yang mungkin boleh dibariskan bersama dengan deretan filem antarabangsa.

Namun akibat daripada pemotongan yang dilakukan, banyak aspek terjejas dan ada ketikanya seperti ada sesuatu yang tidak sampai.

Pemotongan terlalu tegas dan keterlaluan untuk beberapa elemen seperti penggunaan perkataan dalam dialog sebenarnya boleh mencacatkan sesuatu filem.

ntiasa dengar kehendak penonton mahukan karya nampak realistik. Tentunya, dalam kehidupan nyata, akan ada penggunaan perkataan serta bahasa kesat yang tidak manis.

Contohnya, filem aksi memaparkan kisah gengster dan sebagainya. Tentunya latar belakang watak dipaparkan begitu sinonim dengan penggunaan perkataan yang kasar dan kesat.

Berkesempatan berbicara dengan penerbit filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang, Arie Zahari baru-baru ini, dia juga berkongsi mengenai perkataan 'anjing laut' yang biasa digunakan dalam maritim turut menjadi mangsa pemotongan.

Jadi, apabila 'dimaniskan' dan ada kalanya, dipotong habis, ia sedikit sebanyak mengganggu perasaan untuk babak yang dimainkan dan pada masa sama, akan membuatkan penonton rasa seperti ada perisa yang tidak mencukupi.

Itu belum lagi babak-babak yang ditapis dan dipotong sehingga menampakkan perjalanan cerita dalam filem itu, kelihatan canggung.

Dalam laporan Harian Metro sebelum ini juga, kita dapat melihat luahan penerbit, Datuk Yusof Haslam yang menganggap pemotongan keterlaluan umpama pemikiran mereka yang berada di dalam LPF berfikiran sempit.

Secara tidak langsung, ia umpama menyekat kreativiti pembikin filem untuk berkarya dengan lebih berani memandangkan, pentas antarabangsa memerlukan lebih banyak karya dengan idea di luar kotak.

Di majlis taklimat LPF baru-baru ini, dipersembahkan deretan senarai pemberat mengikut klasifikasi usia penonton, dari pemberat seram, keganasan, sehinggalah yang menyentuh perkara berkaitan seksual.

Di situ, saya dapat melihat dengan jelas klasifikasi U atau untuk tontonan umum mungkin hanya sesuai untuk karya memaparkan jalan cerita tanam-tanaman sahaja kerana itu sahaja yang paling 'selamat' untuk ditonton.

Namun saya tidak menafikan, ada beberapa aspek perlu saya akui dan bersetuju dengan LPF contohnya, perkara yang menyentuh sensitiviti.

Antaranya, pihak LPF memotong beberapa bahagian filem memaparkan elemen kelucahan serta bertentangan dengan budaya dan moral Malaysia.

Di saat negara kita kini dilanda dengan pelbagai isu berkaitan masalah sosial, saya rasa itu perlu dilakukan dengan teliti.

Jadi, pembikin filem tidak kiralah penerbit mahupun pengarah, perlu juga tahu dan faham mengenai batas dan garis lurus yang termaktub, agar mereka tidak menanggung kerugian sekiranya banyak babak dalam filem mereka, dipotong.

Apa yang pasti, semuanya berbalik kepada penonton juga kerana setiap apa yang ditonton adalah berdasarkan kehendak, selera serta nafsu masing-masing juga.

Penulis wartawan Hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2023 @ 5:05 AM