Kumpulan Search
Kumpulan Search
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur : "Kita doakan semoga mereka terus sukses, terus 'support' (sokong) Search," kata pemilik syarikat Home Of Champions (HOC), Mozylir Mokhtaruddin mengenai pengakhiran kerjasama dengan kumpulan Search yang diterajui pemain gitar adik-beradik, Noordin dan Kid.

Bagaimanapun, Mozylir ketika dihubungi enggan mengulas mengenai situasi itu kerana mahu menjaga hubungan baik semua pihak.

Dia sebaliknya mendoakan Search yang kini turut dianggotai Denden (penyanyi), Yan (bass) dan Minn (dram) itu terus berjaya dan meminta peminat terus menyokong mereka.

"Maaf, demi menjaga hubungan yang baik semua pihak, saya tak boleh komen," katanya dalam mesej WhatsApp kepada Harian Metro.

Isnin lalu, Noordin menerusi Facebook mengumumkan Kedai RockStation di Kompleks Campbell, di sini, serta jualan menerusi platform atas talian dijalankan juga kini bukan lagi wakil penjual rasmi untuk barangan Search yang sah.

Dia turut menyarankan kepada peminat-peminat yang sudah membuat pembelian kasut Aliph agar menghubungi pihak terbabit untuk proses bayaran balik dibuat.

Kenyataan itu juga mengingatkan supaya pihak RockStation meneruskan proses cabutan bertuah kepada dua pembeli sekiranya jualan Rockobox sudah mencapai 500 unit.

Sementara itu, Noordin ketika dihubungi juga enggan mengulas dan berkata pihaknya akan mengadakan sidang media bagi menjelaskan perkara itu dalam masa terdekat ini.

Terdahulu, Search menerusi kerjasama dengan HOC berjaya menganjurkan Konsert Rockin' On Rooftop pada 11 Jun tahun lalu.

Kerjasama ini berterusan apabila mereka beraksi pula di Rockin' Arena, Penang Spice Arena, Bayan Baru, pada 24 Disember lalu.

Search juga dijadualkan beraksi di bumbung pusat beli belah Aeon Mall, Bandar Dato Onn, Johor Bahru pada 28 Januari ini tetapi tiada perkembangan lanjut yang berlaku setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2023 @ 6:01 PM