Penyanyi, Lah Ahmad. FOTO Genes Gulitah
Penyanyi, Lah Ahmad. FOTO Genes Gulitah
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penyanyi Lah Ahmad mendedahkan kesulitan hidup yang dilaluinya selepas menarik diri daripada kumpulan VE (Voices Of Euphonious) pada 2007.

Menurutnya, ketika itu dia baru sahaja berkahwin sedangkan pada masa sama tidak mempunyai kerjaya dan pendapatan tetap.

"Jadi macam mana nak jaga anak orang? Itulah kesusahan dilalui saya ketika itu. Rasanya sebagai anak seni kenalah seimbangkan antara rumah tangga dengan kerjaya.

"Ini... kerjaya pun tak ke mana manakala rumah tangga pula macam mana. Saya pula lelaki. Ketika itu memang zaman susah. Saya pergi show, bawa minus one dan petik sendiri butang play untuk menyanyi.

"Semuanya saya dah rasa. Tapi pada saya itu yang manis dilalui. Sebelum itu zaman melalui zaman gah. Pernah rasa berada di tahap teratas. Tapi bila Allah tarik semuanya, tiada apa-apa. Hilang macam itu saja," katanya.

Lah, 42, atau nama sebenarnya Abdullah Ahmad berkata, dia kemudian menggunakan khidmat pengurus, tetapi mereka tetap berdepan ujian sebelum mengecapi kerjaya yang stabil.

"Kami pernah dapat bayaran RM100 dan berkongsi dua orang. Kejadian itu berlaku selepas orang kenal saya. Saya masih ingat itu show pertama saya sebagai artis solo.

"Kita mesti ingat apabila jatuh, jatuhkan ego ikut resmi padi. Lagi berisi kena semakin menunduk. Rasa hebat itu nak pergi ke mana lagi dah.

"Dulu saya nak jadi the best, nombor satu, paling top, paling hebat. Tapi setakat mana sangat. Sekejap sahaja Allah boleh tarik. Sekarang saya dah tak berhasrat nak jadi paling popular atau paling hebat," katanya.

Lah yang popular menerusi lagu Ayu bersyukur apabila bertemu dengan kumpulan Inteam yang banyak membantunya.

"Mereka banyak tolong saya masa saya nak rakam album solo pada 2012. Diikutkan saya dikira merajuk dengan industri masa itu. Tak nak buat album dah dan macam rasa putus asa.

"Saya buat lagu berbentuk kerohanian dan bagi mereka. Mereka sokong saya dan cadangkan agar saya yang buat album ini. Saya ragu-ragu dan kata adakah orang beli album?

"Mereka kata lagu nasyid orang beli. Permintaan dan pembelian itu ada. Inteam terima saya masuk dalam keluarga mereka. Mereka biayai dua album saya. Tak mudah orang nak buat dan saya anggap mereka sahabat dunia akhirat," katanya.

Lah yang akan menjayakan 25 Years Lah Ahmad Live In Concert di Stage 1 Theatre, PJPAC 1 Utama E pada 28 Januari ini akan mengundang Inteam untuk bersamanya dalam konsert terbabit.

"Kali ini istimewa kerana saya nak menyanyi lagu mereka. Ia genre nasyid yang sebenarnya dibawakan dengan cara saya sendiri dan berduet dengan mereka. Ia mengembalikan kenangan yang kami lalui," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 January 2023 @ 1:11 PM