PRETTY Ugly masih bersatu.
PRETTY Ugly masih bersatu.
Oleh Wahi Aziz


Kemunculan lagu terbaru berjudul B nyanyian vokalis kumpulan Pretty Ugly, Neves ini menyimpan kisah dan makna tersendiri.

Menurut Neves atau nama sebenarnya Raizan Zainal Abidin, lagu dengan judul asal Bongok itu diubah kepada B bagi mengelak kontroversi.

Ia juga menjadi kayu pengukur dan eksperimen buat Neves dalam projek nyanyian solo.

Namun, jelas Neves sebelum timbul sebarang spekulasi, projek solo itu bukan kerana Pretty Ugly sudah berpecah atau menghadapi konflik dalaman, tetapi sekadar menukar angin.

“Pretty Ugly sudah berada dalam bidang ini selama 14 tahun. Dalam tempoh itu kami bersatu dan mengeluarkan satu demi satu karya secara berkumpulan.

“Pada tahun ini, kami berbincang mengapa tidak saya cuba keluarkan lagu secara solo selain untuk menguji pasaran.

“Itu saja. Kami tak ada apa-apa masalah, malah jika saya mendapat undangan nyanyian untuk projek solo ini pemuziknya tetap anggota Pretty Ugly juga,” katanya.

Menyambung perbualan, Neves berkata, lagu solo itu diubah tajuknya atas pandangan beberapa pihak bagi mengelak berlaku salah faham.

“Lagu itu sebenarnya mengenai percintaan pasangan kekasih yang melakukan beberapa perkara tidak cerdik dan dirumuskan dengan istilah ‘bongok’.

“Tapi, apabila saya mahu lancarkan lagu itu, takut pula jika disebabkan tajuk ia berdepan masalah. Jadi, saya ambil keputusan untuk ringkaskan tajuk itu dengan huruf B saja.

“Dengan tajuk itu terpulanglah kepada pendengar untuk tafsirkan B dengan apa maksud sekali pun,” katanya.

Bercerita mengenai pembabitan dalam kempen jelajah negaRAKU@HardRockCafe Tour 2015, Neves berkata, Pretty Ugly hanya menerima satu slot persembahan di Hard Rock Cafe, Melaka, esok.

“Lagi seronok kalau dapat lebih banyak slot, tapi manalah tahu ada pindaan pada saat akhir siri jelajah ini, kami memang nak sertai.

“Sebab kami nampak aktiviti begini adalah platform yang baik untuk promosi lagu B dan menghidupkan semula senario persembahan gig di negara ini,” katanya.

Acara selama empat jam dari jam 3 petang hingga 7 malam di setiap lokasi itu akan berlangsung di Hard Rock Cafe Melaka esok, Hard Rock Cafe Pulau Pinang (16 Ogos), Hard Rock Cafe Kota Kinabalu (23 Ogos) dan Hard Rock Cafe Kuala Lumpur (6 September).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2015 @ 5:03 AM