NEVES seronok bekerjasama dengan Abdul Rani.
NEVES seronok bekerjasama dengan Abdul Rani.
RADHI
RADHI
KULIT Single Kipidap Dongibap
KULIT Single Kipidap Dongibap
Syafil Syazwan Jefri


Sebelum ini, ada ura-ura mengatakan Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia Abdul Rani Kulup Abdullah bakal muncul dengan single sulungnya.

Kini, ia menjadi kenyataan apabila aktivis yang popular dengan tagline ‘Kipidap Dongibab’ dengan kelahiran single menggunakan judul sama.

Tidak tampil bersendirian, Kipidap Dongibap menggabungkan Abdul Rani bersama dua penyanyi popular iaitu Radhi OAG dan Neves Pretty Ugly yang juga pencipta lagu ini.

Mereka bergabung dan tampil dalam kumpulan yang dikenali sebagai RNR.

Menurut Neves, idea untuk menghasilkan lagu ini tercetus apabila dia bersama Radhi sering bertemu Abdul Rani di beberapa majlis.

“Apabila kerap berjumpa, saya sempat berkenalan dengannya dan meluahkan hasrat menghasilkan single bersama.

“Dia sebenarnya berpengalaman sebagai pemuzik, tetapi lagunya tidaklah dikenali hingga ke arena muzik arus perdana. Saya dan Radhi mencuba nasib dengan mengajaknya bergabung dan menggunakan nama RNR ini,” katanya.

Ditanya mengenai judul yang diangkat daripada tagline yang sering digunakan oleh Abdul Rani, Neves mengakui itu ialah daya tarikan untuk lagu Kipidap Dongibab.

“Masyarakat mengenali Abdul Rani menerusi tagline itu. Jadi, kami mengangkat kata-kata keramatnya itu sebagai judul lagu ini dan ia juga kena dengan mesej yang ingin kami sampaikan,” katanya.

Bercerita mengenai konsep lagu Kipidap Dongibab, RNR cuba menyampaikan mesej positif dan motivasi kepada pendengar menerusi liriknya.

“Kalau dilihat liriknya, Kipidap Dongibab mengajak pendengar untuk tidak berputus asa, sekali gus berusaha dengan lebih keras.

“Dari segi melodi pula, saya menggabungkan muzik ala pop yeh yeh, moden dan sedikit retro untuk disesuaikan dengan identiti kami bertiga,” katanya.

Neves berkata, proses rakaman Kipidap Dongibab berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

“Proses rakaman dijalankan secara berasingan. Abdul Rani adalah orang baru dalam bidang nyanyian, tetapi bagi saya apa yang diberikannya ketika sesi rakaman boleh dipuji.

“Sepanjang proses rakaman itu juga, kami lebih banyak ketawa dengan kerenahnya yang sentiasa mencuit hati,” katanya.

Lebih menarik lagi, untuk lagu Kipidap Dongibab ini juga, Neves sendiri memainkan alat muzik ukulele.

Dilancarkan pada Februari lalu, Kipidap Dongibab kini dalam rangka promosi dan sudah mula diedarkan di stesen radio tempatan.

INFO

- Single: Kipidap Dongibap

- Penyanyi: RNR - Rani, Neves & Radhi

- Komposer: Neves Pretty Ugly

- Lirik: Amad Abdullah

- Terbitan: Orangutan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 April 2016 @ 8:59 AM