Luahan dimuat naik Patimah di Instagram
Luahan dimuat naik Patimah di Instagram

Kuala Lumpur: Kemarahan ibu kepada pelakon Syamsul Yusof, Datin Patimah Ismail nampaknya masih belum reda berikutan pengumuman mengejut anaknya itu bernikah dengan Ira Kazar lebih seminggu lalu.

Bahkan, menerusi hantaran terbaru di Instagram Story, Patimah jelas menunjukkan perasaan geram terhadap Ira yang disifatkan perampas kebahagiaan keluarga orang lain.

"Ayah mereka telah dirampas oleh perempuan yang kejam. Ibu mereka ditinggalkan kerana perempuan itu. Laknatlah hidupnya," katanya.

Menerusi hantaran itu, isteri kepada penerbit Datuk Yusof Haslam terbabit memuat naik foto dua cucunya yang juga anak kepada Syamsul dan isteri pertamanya, pelakon, Puteri Sarah Liyana, sebagai latar belakang.

Terdahulu, Patimah menjadi perhatian warga maya terhadap setiap komen ditulisnya berhubung isu perkahwinan kali kedua anaknya dan isteri, Ira.

Datin Patimah dan suami
Datin Patimah dan suami

Sejak berita perkahwinan Syamsul, 39, dan Ira di Thailand hangat diperkatakan, Patimah juga didapati meninggalkan beberapa komen di media sosial, terutama membabitkan hantaran dibuat menantunya yang juga pelakon, Puteri Sarah.

Komen Patimah jadi perhatian dan hangat di portal-portal hiburan kerana kelantangannya mempertahankan Puteri Sarah, sekali gus tindakan itu dianggap netizen amat wajar bagi seorang ibu mentua yang menganggap menantu seperti anak sendiri.

Pada 6 Januari lalu, Syamsul menerusi video yang dimuat naik di Instagram membuat pengumuman mengesahkan dia sudah berkahwin kali kedua dengan wanita pilihan hatinya, Ira Kazar di Thailand pada hari itu.

Majlis akad nikah pasangan itu diwalikan sendiri oleh bapa Ira iaitu pelakon veteran, Kazar Saisi.

Syamsul dan Puteri Sarah mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikul Islam yang berusia lima tahun dan Summayah, tiga tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 January 2023 @ 2:05 PM