SYAMSUL sudah berkahwin kali kedua dengan wanita pilihan hatinya, Ira Kazar di Thailand.
SYAMSUL sudah berkahwin kali kedua dengan wanita pilihan hatinya, Ira Kazar di Thailand.

Kuala Lumpur: Kisah perkahwinan pengarah filem sensasi, Syamsul Yusof, 39, bukan hanya hangat dan menjadi perhatian di tanah air, namun turut mendapat liputan portal hiburan di negara jiran, Indonesia.

Menerusi tajuk berita yang ditulis, merangkumi kecurangan, diam-diam nikahi 'pelakor' (perampas) dan ibu yang tidak merestui perkahwinan itu, dilihat cukup menarik perhatian ramai.

Harus diakui, nama dan bakat seni Syamsul juga cukup menjadi perhatian di Indonesia menerusi filem arahannya seperti Munafik 2 pada 2018 dan terbaharu, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, tahun lalu.

Tidak hanya Syamsul, nama dua isteri iaitu pelakon, Puteri Sarah Liyana dan Ira Kazar termasuk ibunya, Datin Patimah Ismail juga turut diperkatakan. 

Secara tidak langsung, dapat dilihat pada awal kedatangan 2023 ini, industri hiburan tempatan sudah dihangatkan dengan kisah kemelut rumah tangga. 

Pada Jumaat lalu, Syamsul menerusi video yang dimuat naik di Instagram membuat pengumuman mengesahkan dia sudah berkahwin kali kedua dengan wanita pilihan hatinya, Ira Kazar di Thailand pada hari itu.

Majlis akad nikah pasangan yang didakwa sudah menjalin cinta secara 'sembunyi' selama empat tahun itu diwalikan sendiri oleh bapa Ira iaitu pelakon veteran, Kazar Saisi.

Sebelum ini, kemelut rumah tangga Syamsul dan isteri pertama, Puteri Sarah menjadi perhatian industri seni sejak tahun lalu selepas pendedahan Sarah berhubung tindakan undang-undang perlu diambilnya berikutan dakwaan gangguan rumah tangga oleh 'orang ketiga'.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2023 @ 11:03 AM