Datin Patimah Ismail bersama suaminya, Datuk Yusof Haslam.
Datin Patimah Ismail bersama suaminya, Datuk Yusof Haslam.

Kuala Lumpur: Ibu Syamsul Yusof, Datin Patimah Ismail sudah memaafkan anaknya itu, tetapi tidak dapat menerima apa yang dilakukan Syamsul terhadap isteri, Puteri Sarah Liyana dan dua anaknya.

Patimah dalam satu hantaran di Instagram turut mendakwa Syamsul melakukannya untuk keluarga isteri keduanya, Ira Kazar yang disifatkan Patimah sebagai keluarga tidak bermaruah.

"Sebagai ibu, saya memaafkan Syamsul. Tapi, saya tidak boleh terima apa yang dia buat kepada Puteri Sarah dan anak-anaknya untuk keluarga perempuan yang tidak bermaruah itu," tulisnya.

Sejak konflik rumah tangga anak dan menantunya itu menjadi perhatian ramai, Patimah kerap memuat naik hantaran di media sosial mengenai luahan hatinya terhadap mereka.

Pada 9 Mac lalu, Patimah menitipkan nasihat kepada Syamsul dan memintanya untuk pulang ke pangkal jalan.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan pintu mereka sentiasa terbuka untuk Syamsul.

Semalam, Syamsul dan Puteri Sarah hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, untuk sesi prosiding lafaz cerai, hadhanah dan sulh, namun gagal diteruskan selepas Puteri Sarah tidak bersetuju dengan beberapa pindaan yang dibuat pihak Syamsul.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2023 @ 12:59 PM