PATIMAH memuat naik semula videonya bersama suami, Yusof dan Puteri Sarah ketika hadir di ABPBH35 di Instagram miliknya.
PATIMAH memuat naik semula videonya bersama suami, Yusof dan Puteri Sarah ketika hadir di ABPBH35 di Instagram miliknya.
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Datuk Yusof Haslam, 69, enggan mengulas mengenai komen netizen di TikTok, baru-baru ini yang meminta pelakon, Puteri Sarah Liyana, 38, agar menjauhi bapa mentuanya itu.

Ia susulan, netizen berkenaan mendakwa bersimpati dengan isteri Syamsul Yusof, Ira Kazar apabila menyaksikan hubungan rapat bekas menantu dan mentua itu yang sentiasa menarik perhatian ramai.

"Maaf saya tak mahu komen," katanya ringkas kepada Harian Metro menerusi kiriman mesej di WhatsApp ketika diminta mengulas berhubung komen netizen terbabit yang tular di media sosial dan menerima kecaman.

Sementara itu, isterinya Datin Patimah Ismail pula menerusi hantaran terkini di Instagram yang berkongsi foto Puteri Sarah turut menulis kapsyen mempertahankan bekas menantunya itu yang masih diganggu pihak tertentu walaupun tidak memetik nama sesiapa.

"Puteri Sarah Liana tak jadi kudis pun, biar dia meroyan, 'jealous' tu," tulisnya yang begitu menarik perhatian netizen dan rata-rata menyifatkan Patimah sebagai 'mentua dari syurga'.

Tidak hanya itu, Patimah juga memuat naik video beliau bersiar-siar di ibu kota bersama cucunya, Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4, yang jelas memaparkan kegembiraan dan kebahagiaan mereka.

Selain itu, Patimah tanpa menulis sebarang kepsyen memuat naik semula video ketika hadir bersama Yusof menemani Puteri Sarah berjalan di permaidani merah pada acara Anugerah Bintang Popular BH Ke-35 (ABPBH35) di Istana Budaya pada Julai lalu.

Sekali lagi, video itu menjadi perhatian netizen yang mengikutinya di Instagram dengan memuji dan mendoakan mereka sekeluarga dipermudahkan segala urusan dan terus menikmati kebahagian selamanya.

Pada Jumaat minggu lalu, Yusof muncul sebagai 'cameo' dalam program Sepahtu Reunion Live yang turut membabitkan Puteri Sarah sehingga video kejutan persembahan mereka yang spontan tular di media sosial apabila rata-rata netizen sebak menontonnya.

Puteri Sarah pernah mendirikan rumah tangga dengan Syamsul yang juga pengarah filem Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan pada Mac 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata.

Namun, mereka bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 14 Jun lalu.

Syamsul bagaimanapun sudah berkahwin kali kedua dengan Ira yang juga anak pelakon veteran, Kazar Saisi pada 6 Januari lalu di Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2023 @ 2:45 PM