Abby Abadi bersama anaknya
Abby Abadi bersama anaknya
Zaara Talita


Kuala Lumpur: "Oh Malaysiaku. Bila ada isu rumah tangga dikalangan artis, ada yang curang, saya mesti terkait. Buat video seronok-seronok pun macam-macam orang kata.

"Saya ok saja kalau cakap yang indah-indah. Ini memandai-mandai kata itu ini, siap bagi contoh kisah saya tu lepas tu sambung fitnah pada saya dulu, macam saya pula yang bersalah."

Demikian luah Abby Abadi yang turut terkena tempias dengan kontroversi rumah tangga selebriti Syamsul Yusof dan Puteri Sarah.

Malah, Abby kurang senang apabila kisah silam dengan fakta yang tidak benar diungkit semula.

Menerusi perkongsian yang sama di TikTok, Abby turut berkongsi kisah di sebalik apa yang berlaku pada rumah tangganya dengan bekas suaminya yang juga pelakon, Norman Hakim.

"Sebab saya tak berjaya periksa telefon bimbit dan tak berjaya menjejaki gerak geri gasing dia waktu itu sebab katanya sibuk penggambaran. Malah, dia juga berhari-hari tidak balik ketika itu.

"Yang kata saya serang bekas suami di lokasi penggambaran, saya mencari saja sebab lama tak jumpa dan nakkan penjelasan. Tak ada bawa senjata apa pun. Dan bila jumpa orang kata saya marah, menangis, dah tu?

"Takkan saya nak seronok-seronok kalau ex tak balik dan sampai dah nak bercerai bagai? Aduh la akak-akak, achik dan abang bawang… tolonglah jangan lebih tahu ya. Saya yang melaluinya. Jadi jawapan dan segalanya semua dengan saya.

"Apa yang saya boleh cakap saya tak bercerita banyak benda. Terlalu banyak! Simpan lama ni… terlalu banyak yang hanya saya dan Allah yang tahu. Keluarga pun tak tahu. Arwah mak dan ayah pun tak tahu," katanya.

Untuk rekod Abby mendirikan rumah tangga dengan Norman pada 2002 namun pasangan itu bercerai pada 2009. Mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Mohamed Danish Hakim, Marissa Dania Hakim, dan Danisha Hakim.

Abby kemudiannya bertemu jodoh dengan Muhammad Faizal Zakaria pada Ogos 2015 manakala Norman pula berkahwin kali kedua dengan pelakon Memey Suhaiza pada September 2011 dan dikurniakan tiga orang anak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2023 @ 2:08 PM