Afgan ketika sidang media Afgan Evolution Live In Kuala Lumpur di Kuala Lumpur Convention Centre. FOTO OWEE AH CHUN
Afgan ketika sidang media Afgan Evolution Live In Kuala Lumpur di Kuala Lumpur Convention Centre. FOTO OWEE AH CHUN
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Penyanyi popular Indonesia, Afgan, 33, mengakui masih belum dapat membiasakan diri sepenuhnya selepas menjalani pembedahan laser sekitar Mac lalu bagi membantu meningkatkan penglihatan.

Jelas Afgan, keputusan yang diambil bagi menjalani pembedahan laser itu banyak membantu memudahkan pergerakan dan rutin hariannya.

"Sewaktu menjalani penggambaran muzik video Wildflower, saya mahu kelihatan berbeza dari penampilan sebelum ini. Malah, lagu-lagu yang dimuatkan dalam album berkenaan juga berbeza.

"Oleh itu, gaya saya dalam album berkenaan tanpa kaca mata yang merupakan 'trademark' saya. Pada ketika itu, pembedahan ini dilakukan demi menjayakan album Wildflower.

"Saya mahu menimbulkan elemen kejutan khas buat peminat-peminat pada ketika itu. Malah, saya juga merasakan lebih mudah untuk bergerak dan 'travel'.

"Namun tidak dinafikan, saya masih belum dapat membiasakan diri sepenuhnya lagi. Bila bangun tidur saya masih tercari-cari kaca mata kerana itu adalah rutin bagi mereka yang memakai cermin mata," kata Afgan.

Seiring peredaran masa, teknologi pembedahan laser refraktif, iaitu kaedah rawatan mata secara laser sepenuhnya menjadi pilihan bagi menyelesaikan masalah rabun. 

Pembedahan laser ini banyak membantu penglihatan jelas tanpa cermin mata atau kanta lekap.

Terdahulu, Afgan baru saja menjayakan konsert Afgan Evolution di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.

Afgan berjaya menghiburkan penonton dengan menyanyikan 24 buah lagu popularnya, termasuk karya-karya baharu daripada album mini, +62.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2022 @ 12:05 PM