PESONA Kyuhyun sebagai artis solo semakin kemilau.
PESONA Kyuhyun sebagai artis solo semakin kemilau.
Georgie Joseph

INDAH pada waktunya, tekad penyanyi Korea Selatan, Kyuhyun memacu kerjaya solo ke tingkat lebih tinggi kian berhasil. Pesonanya membawa jenama diri secara solo juga semakin terasa kilauannya.

Kyuhyun atau nama sebenarnya Cho Kyu-hyun, 36, memang bukan figura asing dalam arena hiburan global.

Anggota Super Junior itu hakikatnya terlalu gah namanya sebagai pelopor K-Pop handalan.

Cumanya, barangkali pesona pada dirinya ada garis had tatkala bergerak secara berkumpulan. Rentaknya juga perlu disetarakan dengan hala tuju bersama dalam kumpulan.

Namun, kini Kyuhyun sudah mutlak merencana kerjaya solonya. Ibaratnya ia satu permulaan baharu buat dia meneroka segala sisi dalam yang tidak pernah tertonjol selama ini.

Kyuhyun mengakui, antara aspek yang terasa cabarannya sekarang adalah kualiti penghayatan nyanyiannya. Khususnya untuk lagu balada, walhal dia antara penyanyi Korea memiliki mutu vokal terbaik.

"Sekarang saya kena banyak menyanyikan lagu balada secara sendirian. Bukan hal asing pun, namun saya dapati ada kesukaran untuk saya berikan penghayatan yang mampu menusuk pendengar.

"Kalau menyanyi atas pentas pun terasa masih ada kurangnya pada emosi yang saya salurkan. Saya memang kena kerja keras lagi pada aspek itu demi memastikan persembahan saya akan lebih besar impaknya," katanya.

Istimewanya tahun ini, Kyuhyun juga semakin seronok melaksanakan siri jelajah solo sekitar Asia termasuk berkunjung ke Malaysia baru-baru ini. Secara rasminya, ia kunjungan sulungnya secara solo di sini.

Menjayakan konsert 2024 (KYUHYUN) ASIA TOUR 'Restart' in Kuala Lumpur anjuran WebTVAsia di Mega Star Arena, lebih 2,800 peminat setianya hadir sebagai tanda sokongan terulung buatnya.

Padahal, kalau diikutkan, sewaktu acara itu pada 13 April, rata-rata rakyat tempatan masih dalam 'mood' meraikan Aidilfitri.

Melihat sokongan itu, Kyuhyun jelas tersentuh dan menghargai semua yang hadir.

Katanya, disebabkan sokongan begitulah sebenarnya yang menjadikan keyakinannya kian kukuh untuk bergerak solo.

"Rasanya macam sudah lama saya tidak ke sini? Oh, saya ada berkunjung beberapa tahun lalu untuk konsert Super Show. Tapi kali ini, saya datang sendirian untuk jayakan konsert sulung rasmi saya.

"Sesungguhnya saya masih terasa sangat terharu dengan sokongan tidak berbelah bagi kamu semua. Sorakan kamu masih lantang sebagaimana yang sentiasa dalam ingatan saya," katanya.

Selayaknya sisi penghibur Kyuhyun yang solo mendapat pujian. Kemampuannya menggegar pentas dengan variasi corak menghibur membuktikan dirinya sudah berada di legasi atasan.

PERTAMA kali adakan konsert solo di Malaysia.
PERTAMA kali adakan konsert solo di Malaysia.

Tiada sedikit pun kekurangan terasa padanya kerana daripada segi vokal padu, tenaga, keletah bersahaja, dia cemerlang menakluknya. Benar-benar setimpallah buat penonton yang sanggup berbelanja untuk hadir menyaksikannya.

Itulah juga waktu terbaik kongsi sisi dirinya yang terhad untuk ditonjolkan jika tampil secara berkumpulan. Misalnya, bakat nyanyian muzikal teater yang memang menebal dalam dirinya berdekad lamanya.

Kyuhyun sempat memukau penonton dengan corak nyanyian ala soprano bagi lagu teaterikal yang pernah dijayakannya sebelum ini. Hebatnya bikin meremang dan memuaskan halwa telinga ramai.

Kyuhyun juga tidak abaikan persiapan lazim untuk menyuntik elemen tempatan dalam persembahannya. Pada konsert itu, dia memilih untuk mendendangkan lagu tempatan yang cukup ikonik, Bunga Bunga Cinta nyanyian asal Misha Omar.

Meskipun nyanyian lagu itu cuma pendek, namun impak ditinggalkan cukup luar biasa. Merdunya bukan kepalang, sebutan lirik bahasa Malaysia begitu fasih dan amat jelas.

Itulah buktinya seorang penyanyi berkaliber tidak akan terbatas dengan kekangan lagu berbahasa lain. Dia membuktikan persiapannya menghafal lagu itu dibuat benar-benar rapi.

Bahkan, Misha sendiri terharu Kyuhyun memilih untuk menyanyikan lagunya itu selain memberikan persembahan cukup mantap ketika mendendangkannya.

"Okey, pengsan. Tersenyum-senyum kita, wak. Tertawan hati," demikian komennya.

Menjadi antara penyanyi lelaki Korea Selatan yang cukup hebat vokalnya, netizen mengakui Kyuhyun memang memberikan keadilan terhadap lagu itu termasuk sebutan bahasa Malaysianya jelas.

"Bunga-Bunga Cinta kedengaran jadi lebih indah. Kyuhyun perlu banyakkan menyanyi semula lagu Misha Omar. Sedapnya sebutan dia. Dia beri keadilan terhadap lagu Misha Omar.

"Siapa cadangkan lagu legenda ini? Bagi dua ibu jari kepada orang yang cadangkan lagu ini kepada Kyuhyun," antara komen netizen.

Pada konsert itu, 21 lagu pelbagai rentak dipersembahkannya dengan vokal cukup memukau termasuk Restart, Dreaming, Sorry Sorry, Together, Daystar dan Rainbow.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 6:00 AM