RAISA bersyukur apabila tiket konsert berskala besar yang bakal diadakan pada 20 November ini hampir habis terjual.
RAISA bersyukur apabila tiket konsert berskala besar yang bakal diadakan pada 20 November ini hampir habis terjual.
Najiy Jefri


Raisa Andriana boleh dianggap sebagai seorang diva kebanggaan Indonesia apabila pelbagai kejayaan sudah diraih.

Malah kehadirannya dalam dunia nyanyian cukup dinanti-nantikan oleh peminat yang sentiasa mengagumi bakat seni dimiliki wanita berusia 31 tahun itu.

Bukan hanya sukses sebagai penyanyi, Raisa turut menjadi contoh wanita hebat sebagai seorang isteri, ibu dan usahawan.

Biarpun bukan mudah untuk membahagikan masa antara keluarga dan kerjaya, namun ibu kepada cahaya mata bernama Zalina Raine Wyllie sentiasa optimis dan menjadikan ibunya sebagai sumber kekuatan.

"Saya selalu mendapatkan kekuatan daripada wanita yang berada di sekeliling saya terutama ibu.

"Jika dulu sewaktu kecil kita diuruskan oleh ibu, tapi sekarang saya melakukan hal yang sama untuk menjaga keluarga saya.

"Alhamdulillah insan inilah yang menjadi penguat semangat untuk saya menjalani kehidupan yang lebih baik," katanya.

Tambah Raisa, biarpun namanya antara penyanyi papan atas di Indonesia, namun tiada yang lebih membanggakan buat dirinya selain bergelar ibu.

"Tidak dinafikan saya bangga dengan apa yang saya miliki dalam kerjaya seni, tapi ada yang lebih membanggakan menurut saya iaitu ketika menjadi seorang ibu.

"Saya akui bukan mudah nak memegang tanggungjawab sebagai ibu. Sekuat apapun kita ,tapi ada waktunya kita akan berasa letih," katanya.

Menerusi pertemuan bersama Raisa ketika sidang media Konsert Raisa Live In Malaysia di sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini, Raisa memaklumkan puteri tercintanya dijaga rapi oleh suaminya, Hamish Daud sepanjang dia berada di Malaysia.

BERTANYA dengan beberapa kenalan di Indonesia mengenai persiapan yang perlu dilakukan menjelang konsert di Malaysia.
BERTANYA dengan beberapa kenalan di Indonesia mengenai persiapan yang perlu dilakukan menjelang konsert di Malaysia.

"Peranan suami tidak boleh terlalu terhad, sebaliknya perlu saling bertolak ansur dan menjaga anak bersama-sama.

"Jadi sepanjang saya berada di sini suami yang akan ambil alih tugas menjaga anak," katanya.

Konsert

Bercerita mengenai Konsert Raisa Live In Malaysia yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 20 November ini, Raisa mengaku teruja untuk menghiburkan peminat dengan lebih 20 lagu yang bakal disampaikan.

Kata Raisa, konsert berskala besar yang julung kali diadakan itu bakal memberi peluang kepada dirinya mendekati peminat di Malaysia dengan lebih dekat.

"Menerusi konsert ini saya tidak mahu terlalu bereksperimentasi dengan susunan lagu yang baharu, sebaliknya saya nak kekalkan keaslian lagu yang saya bawakan kerana saya nak peminat mengenali saya dengan lebih dekat.

"Saya ingin jadikan konsert ini sebagai proses perkenalan saya bersama peminat yang meminati saya sepanjang lebih sedekad berada dalam dunia seni.

"Jujurnya saya memang tak sabar nak jayakan konsert ini kerana sudah lama menyimpan impian untuk mengadakan konsert berskala besar di sini.

RAISA mengaku perlu bijak membahagikan masa antara kerjaya nyanyian dan keluarga.
RAISA mengaku perlu bijak membahagikan masa antara kerjaya nyanyian dan keluarga.

"Segala persiapan sudah hampir sempurna dan saya sudah senaraikan lagu-lagu yang bakal dibawakan nanti," katanya yang bersyukur apabila tiket konsert sudah hampir 'sold out'.

Menurut Raisa, dia juga ada bertanya kepada beberapa kenalan selebriti popular Indonesia mengenai persiapan yang perlu dilakukan.

"Baru-baru ini saya ada bercakap dengan Rossa, Afgan serta Rizky Febian mengenai bahasa yang sepatutnya saya gunakan di atas pentas.

"Rata-rata beritahu gunakan bahasa Indonesia saja tapi saya tidak begitu risau soal itu kerana percaya peminat akan faham dan akan ketawa bersama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2022 @ 6:20 AM