Penyanyi Beby Acha
Penyanyi Beby Acha
Norhayati Nordin


Puchong: Penyanyi Beby Acha, 31, menganggap apa yang secara kebetulan 'sama' antaranya dengan penyanyi Baby Shima ialah dikenali sebagai penyanyi dangdut yang turut dipandang 'sinis' oleh segelintir peminat.

Ditambah menggunakan nama pentas 'hampir sama', Beby Acha atau nama sebenarnya Nur Aishah Md Shari, bagaimanapun menegaskan personaliti mereka berbeza dan masing-masing mempunyai bakat tersendiri.

"Saya rasa ia kebetulan yang mana, nama pentas kami hampir sama dan genre lagu diketengahkan masing-masing juga adalah dangdut. Cuma, yang pasti saya tak mahu hanya dikenali sebagai penyanyi dangdut.

"Saya mahu mempelbagaikan genre dalam nyanyian kerana ia juga antara impian abang saya, Allahyarham Achik Spin yang sangat yakin dengan bakat nyanyian adiknya ini ketika dia masih ada dulu," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Beby Acha ditemui pada majlis pelancaran single duet terbaharunya, Semaian Cinta bersama Azzara Band, baru-baru ini.

Katanya, walaupun bermula agak lambat dalam karier nyanyian, dia akan terus berusaha dan mencuba.

Ditanya juga dirinya sebagai penyanyi dangdut terdedah diganggu individu 'nakal' termasuk golongan kenamaan (VIP), Beby Acha mengakui memang ada yang muncul mendekati terutama dengan kiriman mesej di media sosial.

"Memang ada saja individu 'nakal' serta golongan VIP yang bergelar Datuk cuba mendekati saya. Tanya tentang 'harga', tapi saya tak layan pun. Saya hanya nak menyanyi dan cari rezeki dalam karier seni saja.

"Begitu juga, di media sosial saya. Ada lelaki-lelaki yang menghantar pelbagai mesej kurang bermoral, termasuk gambar dan video tidak senonoh. Tapi, saya selesa 'delete' (buang) dan blok terus mereka daripada Instagram.

"Senang dan mudah, sebab saya memang tak nak beri ruang melayan. Saya tahu, kalau layan mesti jadi. Namun, saya tak mahu nama terbabit dan akan terkait dengan keluarga pula nanti," katanya.

Beby Acha yang baharu beberapa tahun bergelar penyanyi, hingga kini sudah merakamkan lima single iaitu Jaga Jaga (duet Ejai Aziz), Anje Baby, Mama Bonita, Jerung Merah serta Uda Dan Dara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2022 @ 2:49 PM