BEBY Acha.
BEBY Acha.
Zaara Talita

Kuala Lumpur: Penyanyi, Beby Acha, 31, tidak ralat namanya sering dibayangi dan dikenali kerana dia adalah adik kepada Allahyarham Achik Spin dan kakak kepada Tajol Ariff.

Memiliki latar belakang yang boleh meledakkan popularitinya sekelip mata, pemilik nama penuh Nur Aishah Md Shari ini menegaskan dia ingin berdiri atas bakatnya sendiri.

Katanya, seboleh-bolehnya dia mahu lari jauh dari bayangan populariti abang dan adiknya serta berjuang untuk bertapak dengan usaha sendiri.

"Kalau masih ada yang melihat saya sebahagian daripada adik-beradik saya, tiada apa yang dapat dilakukan kerana mereka memang darah daging saya.

"Nak lari jauh mana pun, mereka adalah adik-beradik saya. Cuma saya harap dikenali kerana naskhah dan karya saya sendiri. Saya tidak mahu menggunakan jalan mudah untuk menempa nama dalam industri muzik," katanya.

Mula aktif menyanyi di Smule, Beby serius menjadikan nyanyian sebagai kerjaya selepas didorong keluarganya. Malah, semua adik-beradiknya seramai 10 orang memiliki bakat menyanyi.

Berkongsi mengenai perkembangan kerjaya, Beby menyifatkan pembabitannya dalam program Muzikal Lawak Superstar bersama kumpulan Joki sebagai perkembangan positif untuk kerjaya seninya.

"Kombinasi menyatukan penyanyi dan selebriti TikTok dalam program ini sekali gus membantu untuk mengenengahkan bakat terpendam yang mungkin tidak disedari selama ini.

"Walaupun sudah tersingkir, namun pengalaman ini berharga buat saya. Berjenaka dan membuat lawak bukanlah perkara yang mudah. Secara tidak langsung, kita dapat mendalami apa yang dilalui oleh para pelawak," katanya.

Selain Beby, Joki turut dianggotai oleh Gomok Gahai dan Fuad Nasirr.

BEBY Acha bersama kumpulan Joki dalam program Muzikal Lawak Superstar.
BEBY Acha bersama kumpulan Joki dalam program Muzikal Lawak Superstar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2022 @ 6:09 PM