Beby Acha
Beby Acha

Norhayati Nordin

[email protected]

Kuala Lumpur: "Complicated (rumit), tapi pasangan itu adalah," kata penyanyi Beby Acha, 31, apabila ditanya mengenai statusnya sama ada masih solo atau sudah berumah tangga.

Ia berikutan adik kepada Allahyarham Achik Spin ini didakwa pernah berkahwin. Namun, ketika ditanya Beby Acha atau nama sebenarnya Nur Aishah Md Shari seakan keberatan untuk membicarakannya.

"Bukan saya tak nak berkongsi langsung pasal peribadi. Memang ada pasangan, maksudnya berkawan dengan seseorang tapi sekarang saya nak fokus pada karier dulu sebab pembabitan pun agak lewat.

"Saya baru saja menapak dalam karier nyanyian ini dan sebab itu kalau boleh saya nak fokus dulu pada lagu dan aktiviti seni saya akan datang. Hal peribadi itu boleh kongsi dan tengok sajalah di Instagram saya," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Beby Acha, dia memang tiada masalah berkongsi kisah peribadinya, tapi bukan sekarang dan tunggulah sehingga masa yang sesuai itu tiba.

"Tak ada masalah pun sebenarnya nak 'share' (kisah peribadi). Cuma pada saya tunggulah masa yang sesuai, insya-Allah. Buat masa sekarang ia agak 'complicated' (rumit). Kalau si dia itu mengajak saya berumah tangga sekarang pun, memang dia kena tunggu dulu. Saya masih baru dalam karier muzik ini. Beri saya peluang untuk tunaikan hasrat Allahyarham bapa dan abang saya, Achik untuk mencapai apa yang diimpikan.

"Nanti-nantilah dulu cerita peribadi ini. Saya pun tak sampai 'target' (sasaran) lagi apa yang saya nak capai. Sebenarnya saya mahu ada satu album solo sendiri yang memuatkan lagu-lagu nyanyian saya," katanya.

Hingga kini, Beby Acha sudah merakamkan lima single solo iaitu Jaga Jaga (duet Ejai Aziz), Anje Baby, Mama Bonita, Jerung Merah dan terbaharu, Uda Dan Dara yang menjadi lagu OST drama Ada Apa Dengan Saka di TV9.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Julai 2022 @ 2:37 PM